Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited perkukuh sektor kebeliaan negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Pembangunan dan pemerkasaan golongan belia merupakan agenda penting ke arah melahirkan modal insan belia yang siaga masa depan dan cemerlang.

    Pendekatan senegara adalah sangat signifikan bagi memastikan apa jua perancangan dan program yang dilaksanakan adalah efektif, berimpak tinggi, serta menyumbang kepada pencapaian visi dan matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-19, 2024, bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Oleh yang demikian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi turut menjelaskan beberapa perkembangan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan agensi-agensi melibatkan sektor kebeliaan, antaranya pelaksanaan Pelan Tindakan DBNS 2020-2024, sedang berjalan dengan lancar manakala, Kajian Indeks Pembangunan Belia 2024 akan dilaksanakan bagi membantu memperkukuhkan pelan tindakan yang baharu.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga menambah dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), KKBS juga terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkenaan melalui Dialog Belia Pembangunan Mampan dan pihak KKBS dengan kerjasama dengan Syarikat imagine Sdn Bhd juga telah mewujudkan akaun Instagram Hab Belia yang dihasratkan sebagai platform dalam mempromosi aktiviti-aktiviti kebeliaan di negara ini.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato menyembahkan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke sambutan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan pemedulian Baginda Sultan terhadap apa jua isu dan perkembangan belia dan sudah setentunya akan memberikan makna yang tersendiri serta menjadi ristaan di negara ini, di samping menyuntik semangat para belia untuk terus giat menggandakan usaha dalam menyumbangkan idea dan tenaga bagi sama-sama mencapai matlamat utama DBNS 2020-2035 serta Wawasan Brunei 2035.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menyentuh Sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini mengekalkan tema Belia Siaga Masa Depan dengan terus menekankan peranan belia sebagai tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa depan.

    Menyentuh mengenai konsep pameran sambutan berkenaan pada tahun ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan ia tertumpu kepada Belia Berwawasan yang mempamerkan sumbangan agensi-agensi berkaitan termasuk penglibatan golongan belia ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035.

    Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengongsikan pada tahun ini, empat kategori anugerah akan diberikan, iaitu Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat, Anugerah Pemimpin Muda Belia, dan Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH
    MUIZ MATDANI
    Antara belia yang hadir semasa majlis yang diadakan di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda