Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited promosi perdagangan adil, mampan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Mesyuarat ke-9 Suruhanjaya Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diadakan di Melbourne, Australia telah dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan dan Pelancongan, Menteri Negeri Khas Australia, Tuan Yang Terutama Senator Don Farrell. Mesyuarat berkenaan menghimpunkan menteri-menteri, ketua delegasi dan wakil dari Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, United Kingdom dan Vietnam.

    Hadir mewakili Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Dalam mesyuarat berkenaan, Brunei Darussalam bersama negara-negara CPTPP mengalu-alukan Dialog Perdagangan dan Pelaburan pertama antara CPTPP dan ASEAN, serta antara CPTPP dan Kesatuan Eropah (EU). Dialog yang diadakan di samping mesyuarat berkenaan menzahirkan komitmen bersama untuk mempromosikan perdagangan yang adil dan terbuka, menyokong pertumbuhan mampan serta memastikan persekitaran perdagangan yang stabil.

    Suruhanjaya CPTPP turut mengalu-alukan kemajuan dalam perbincangan mengenai proses penyertaan Costa Rica. Selain itu, empat aspirasi baharu telah dikenal pasti selaras dengan Auckland Principles, iaitu Indonesia, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Uruguay. CPTPP bersetuju memulakan proses penyertaan dengan Uruguay, manakala yang lain dijangka dimulakan pada tahun 2026, jika sesuai.

    Suruhanjaya juga menegaskan komitmen memastikan perjanjian kekal relevan dan berstandard tinggi. Mesyuarat mengesahkan hasil kajian umum, termasuk kemas kini beberapa bab melalui rundingan bermula awal 2026, khususnya berkaitan Perdagangan Elektronik, Perdagangan Perkhidmatan, Kastam dan Pemudahan Perdagangan, Daya Saing dan Pemudahan Perniagaan serta Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi Wanita. Inisiatif tambahan turut dirancang bagi mengukuhkan aspek Pelaburan, Paksaan Ekonomi dan Amalan Penyelewengan Pasaran.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, serta pegawai dari Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Mesyuarat juga mengesahkan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri CPTPP, yang boleh diakses melalui platform rasmi Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MOFE

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda