Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 13 MEI – QAF Auto Sdn Bhd hari ini telah mengumumkan The Abode Resort and Spa di Daerah Temburong sebagai Rakan Pengecas Destinasi BMW yang terbaharu di negara ini dan menjadikan The Abode Resort and Spa Temburong sebagai pusat peranginan pertama di Brunei menawarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
Perasmian Rakan Pengecas Destinasi BMW telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit selaku Pengurus The Abode Resort and Spa dan Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Turut sama merasmikan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo dan Ketua Pegawai Eksekutif The Abode Resort and Spa, Lim Wei Siu.
Kerjasama QAF Auto dengan The Abode Resort and Spa menandakan satu lagi peristiwa penting dalam peralihan yang semakin pantas ke arah EV dan sejajar dengan strategi holistik syarikat untuk mewujudkan infrastruktur pengecasan yang lancar bagi pemilik EV BMW di seluruh negara.
Terdahulu, Alisa Khoo menjelaskan, “Program Rakan Pengecas Destinasi BMW telah memperluaskan rangkaian pengecasan awam dengan menyediakan stesen pengecasan sebagai destinasi gaya hidup yang popular.
“Selain kawasan-kawasan komersial, pusat peranginan berkenaan juga berfungsi sebagai lokasi yang ideal bagi pengecas kami kerana ia menyediakan kebolehcapaian dan kepraktisan bagi pelanggan yang kami hargai.
“Pemilihan The Abode Resort and Spa di Daerah Temburong juga menandakan komitmen teguh untuk masa depan EV di Brunei,” ujarnya.
Manakala itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan QAF Auto, Pengurus Besar The Abode Resort and Spa, Richard Ting berkongsi keterujaan untuk bekerjasama dengan QAF Auto bagi menyediakan pelanggan dengan pemikiran ke hadapan dan pilihan yang mampan.
“Kami bukan sahaja memberikan perkhidmatan hospitaliti, kami juga sedang merintis ke era baharu pelancongan dan pengangkutan yang mampan di Brunei.
“Dengan adanya perkongsian ini, ia menandakan pakatan strategik yang bertujuan untuk memacu teknologi termaju,” ujarnya.
Menurut QAF Auto Sdn Bhd, mereka telah menetapkan dua pengecas EV di The Abode Resort and Spa dan ini adalah pengecas kelima secara keseluruhannya.