Oleh Sim Y. H. –
Kejayaan menamatkan pengajian di peringkat universiti merupakan satu pencapaian yang amat bermakna tetapi ia bukannya titik noktah dalam perjalanan pembelajaran malahan merupakan satu permulaan kepada usaha menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berjaya menamatkan pengajian saya di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Tamatnya pengajian ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,”
Perasan syukur berkenaan dikongsi oleh penerima Ijazah Sarjana (MA) dalam Islamic Media and Communication Technology (IMCT), Ampuan Mohamad Zaki bin Ampuan Ahmad, yang telah menamatkan pengajian serta diraikan pada Majlis Haflut Takharruj ke-15, UNISSA, baru-baru ini.
Beliau melahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada warga UNISSA yang bukan sahaja membekalkan ilmu akademik, malah membentuk jati diri sebagai insan berilmu dan berakhlak.
Ketika ditanya mengenai sumber inspirasi, beliau menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan yang sentiasa menjadi dorongan utama sepanjang pengajian.



CABARAN DALAM BIDANG TEKNOLOGI
Ampuan Mohamad Zaki mengakui cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ketika mula menceburi bidang teknologi yang merupakan sesuatu yang baharu baginya. Pada awalnya, beliau menghadapi kesukaran memahami istilah teknikal dan menyesuaikan diri dengan perkembangan ilmu yang pesat. Namun, berbekalkan semangat ingin belajar, beliau meluangkan lebih masa membaca, menghadiri bengkel serta mendapatkan bimbingan daripada pensyarah dan rakan-rakan.
TESIS MENGENAI TEKNOLOGI DRON
Antara pencapaian yang paling membanggakan sepanjang pengajian beliau di peringkat sarjana adalah penulisan tesis bertajuk Pembangunan Asas Teknologi Dron untuk Kegunaan Industri Tempatan di Negara Brunei Darussalam.
Kajian itu meneliti potensi penggunaan teknologi dron dalam sektor utama negara termasuk pertanian, pemetaan dan keselamatan.
Menurut beliau, penyelidikan itu bukan sahaja memperluas pemahaman dalam bidang teknologi, malah membuka ruang cadangan pembangunan industri tempatan berasaskan inovasi.
BERBEZA DENGAN PERINGKAT IJAZAH SARJANA MUDA
Berkongsi pengalaman, beliau menjelaskan bahawa pengajian di peringkat sarjana lebih mencabar kerana menuntut pemikiran kritikal, berdikari dalam penyelidikan dan pengurusan masa yang cekap. Tugasan juga lebih mendalam dengan keperluan rujukan yang meluas serta analisis matang.
Sepanjang pengajian, beliau memperoleh pelbagai kemahiran baharu termasuk penyelidikan dan analisis data, pengurusan projek serta penguasaan teknologi terkini seperti dron kemahiran yang beliau yakin akan dimanfaatkan selepas ini.
PESANAN BUAT RAKAN PELAJAR
Beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar UNISSA yang masih meneruskan pengajian agar tidak mudah berputus asa.
“Setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan membina diri. Hargai masa, manfaatkan ilmu dan jaga adab sebagai penuntut ilmu. Sentiasa ikhlaskan niat belajar bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk memberi manfaat kepada ummah,” tambahnya.
Sementara itu, graduan PhD, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Dayang Nor Surilawana binti Haji Sulaiman juga merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT dan gembira atas pencapaian berjaya menamatkan pengajian di UNISSA.
“Ia adalah satu perjalanan yang penuh cabaran tetapi juga penuh makna. Kejayaan ini bukan sahaja pencapaian peribadi, tetapi juga satu amanah untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu, khususnya dalam bidang halal.”
SUMBER INSPIRASI DALAM PENGAJIAN
Dayang Nor Surilawana menerangkan bahawa sumber inspirasi utama baginya adalah kedua-dua ibu bapa iaitu Haji Sulaiman dan Hajah Rohaya serta suami, Kapten Muhammad Fairuz, yang tidak putus-putus memberikan perhatian kepada perkembangan pengajianmya, keluarga yang sentiasa memberikan sokongan moral dan doa serta Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah dan Penyelia, Profesor Madya Dr Hajah Rose yang memahami kesibukannya sepanjang proses pengajian.
“Tanpa doa, dorongan dan kefahaman mereka, mungkin perjalanan ini lebih sukar untuk dilalui. Tidak lupa juga anak saya, Awang Muhammad Ra’uf Ar-Rayyan, yang merupakan sumber inspirasi dan penguat semangat untuk saya terus kekal bermotivasi dan berdedikasi.”
UNISSA BANTU MEMBENTUK DIRI DARI SEGI AKADEMIK, AKHLAK DAN KEMAHIRAN KEPIMPINAN
UNISSA menyediakan suasana yang sangat kondusif bukan sahaja untuk perkembangan akademik, tetapi juga dalam pembinaan akhlak dan kepimpinan, jelas Nor Surilawana.
“Budaya ilmu yang berteraskan Islam menanamkan nilai amanah, kesabaran dan keikhlasan. Pada masa yang sama, peluang penglibatan dalam aktiviti akademik dan profesional turut mengasah kemahiran kepimpinan serta keyakinan diri,” tambahnya.
PESANAN KEPADA PELAJAR LAIN
Pesanan Dayang Nor Surilawana kepada rakan-rakan pelajar yang lain adalah jangan mudah berputus asa walaupun menghadapi cabaran yang berat.
“Sentiasa bergantung kepada Allah, jaga disiplin diri dan manfaatkan sokongan daripada keluarga, pensyarah serta rakan-rakan.
“Ingatlah juga, motivasi terbesar datang daripada mereka yang kita sayangi. Setiap cabaran adalah peluang untuk menjadi lebih kuat dan matang dalam perjalanan ilmu.
“Kepada para pelajar yang masih berjuang di luar sana, saya ingin mengingatkan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan usaha yang berterusan dan semangat yang tidak pernah luntur. Jangan pernah takut untuk gagal, kerana kegagalan ialah guru terbaik yang akan mengajar kita untuk menjadi lebih baik.
“Percayalah pada diri sendiri, teruskan berdoa, dan jangan lupa untuk menjaga keseimbangan antara akademik dan kehidupan peribadi,” sarannya kepada pelajar-pelajar yang masih berjuang di luar sana.

