Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited tangani cabaran alam sekitar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dan Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM), telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 dan Mesyuarat Persidangan Ahli-ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-20 yang diadakan di Langkawi, Malaysia pada 3 September.
     
    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JASTRe, di sini, mesyuarat-mesyuarat berkenaan mengesahkan semula komitmen mereka untuk memperkukuh usaha serantau yang bersepadu dalam menangani cabaran alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: Inklusiviti dan Kelestarian serta Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang telah diterima pakai oleh Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
     
    Mesyuarat telah mengesahkan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim kepada Sesi ke-30 Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP30) untuk pertimbangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
     
    Sementara itu, Mesyuarat mengiktiraf inisiatif Malaysia untuk menubuhkan Kumpulan Perundingan Perikatan Asia Tenggara (Group SEA) di bawah Proses Rundingan Perubahan Iklim Global dalam UNFCCC, mengalu-alukan perbincangan dan input lanjut daripada AMS.
     
    Selain itu, mesyuarat menantikan penubuhan Pavilion ASEAN yang pertama di UNFCCC COP30 pada November 2025, di Belem, Brazil, yang akan menjadi demonstrasi komitmen tinggi ASEAN yang tidak berbelah bahagi untuk mengambil tindakan yang bermakna terhadap perubahan iklim. 
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bergambar ramai pada Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 yang diadakan di Langkawi, Malaysia pada 3 September. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
    Mesyuarat menghargai pemeteraian Perjanjian Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) yang berpangkalan di Brunei Darussalam dan Perjanjian Penubuhan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) yang berpangkalan di Indonesia oleh semua negara anggota ASEAN. 
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dalam kenyataannya mengongsi inisiatif-inisiatif Negara Brunei Darussalam untuk mencapai alam sekitar yang berdaya tahan yang menyokong wawasan kebangsaan Wawasan Brunei 2035 dan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pembangunan Mampan. 
     
    Dalam bidang pengurusan sisa dan ekonomi keliling, Negara Brunei Darussalam terus memajukan usaha ke arah pengurusan sisa mampan melalui tiga strategi utama iaitu pengurangan sisa buangan melalui 3R (Reduce, Reuse, Recycle), kesedaran dan pemerkasaan awam serta penggunaan teknologi Waste to Resource.
     
    Antara lain inisiatif-inisiatif yang sedang berjalan termasuk Inisiatif Eco Food Waste, Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, Inisiatif Bebas Botol Plastik, Kempen Kebersihan Senegara Coastal Marvel, Hari Kitar Semula Senegara dan Kempen Bawalah Barang Guna Semula Awda. 
     
    Mengenai Perubahan Iklim dan kemampanan, Negara Brunei Darussalam telah melakar hala tuju yang jelas ke arah pengurangan 20 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 berbanding tahap business as usual bagi pelepasan net zero menjelang 2050 melalui arahan pelaporan gas rumah hijau mandatori yang telah mengukuhkan kapasiti MRV kebangsaan. 
     
    Selain itu, Mesyuarat turut mengalu-alukan Pengarah Eksekutif Pusat Biodiversiti ASEAN yang baharu dan  mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah ASEAN Environmentally Sustainable Cities (ESC) ke-6 dan Certificate of Recognition yang ke-5, mengiktiraf pencapaian mereka sebagai inspirasi untuk bandar-bandar lain bagi melaksanakan dasar dan amalan yang lebih mampan. 
     
    Seminar Serantau ESC ASEAN telah diadakan pada 2 hingga 3 September, yang telah memperkasakan bandar-bandar yang memenangi anugerah ASEAN untuk bertukar pengalaman dan pandangan yang bernilai dalam memupuk bandar-bandar yang mampan alam sekitar serta untuk membina rangkaian dan potensi kolaborasi antara pihak berkepentingan dalam memulakan inisiatif bandar mampan di ASEAN.
     
    Bagi Negara Brunei Darussalam, Seria telah dicalonkan untuk menerima Anugerah ASEAN ESC ke-6. Hadir untuk menerima anugerah berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. 
     
    Seria dipilih berdasarkan pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan hijau, yang merangkumi tumpuan yang kukuh kepada tenaga boleh diperbaharui, pengurangan sisa, kualiti udara dan pendidikan alam sekitar. 
     
    Pekan itu telah mencapai kemajuan besar dengan melaksanakan projek-projek utama seperti loji fotovoltaik suria Syarikat Minyak Brunei Shell dan Taman Rekreasi Tenaga Seria yang dijana oleh tenaga suria. 
     
    Di samping itu, mesyuarat menekankan kepentingan mengekalkan dan menggalakkan kerjasama dan kolaborasi dalam ASEAN dan dengan rakan-rakan luar bagi menyokong Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu menjelang 2030.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda mengongsi bahawa kualiti udara Negara Brunei Darussalam sedikit terjejas oleh pencemaran jerebu rentas sempadan yang berlaku pada minggu keempat Julai 2025 disebabkan oleh jerebu asap daripada aktiviti titik panas di negara jiran yang membawa kepada perubahan kualiti udara di negara ini. 
     
    Walau bagaimanapun, jerebu rentas sempadan mungkin berterusan disebabkan corak cuaca yang tidak menentu dan risiko jangka masa cuaca yang lebih kering dalam beberapa bulan akan datang. 
     
    Oleh itu, Negara Brunei Darussalam akan terus komited bersama-sama dengan negara anggota ASEAN secara kolektif untuk menangani isu jerebu dan menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ASEAN. 
     
    Mesyuarat bersetuju untuk bertemu lagi di Vietnam pada 2026 bagi Mesyuarat Persidangan Pihak-pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-21 dan di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2027 bagi Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN ke-19 dan Mesyuarat Persidangan Pihak-pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-22.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda