Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Pada tahun 2024, seramai 1,328 orang telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi rakyat Baginda sepertimana juga yang telah diperuntukkan di bawah Akta Taraf Kerakyatan Brunei Penggal 15 di mana Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-40 dan ke-41 masing-masing telah diadakan pada bulan April dan Disember 2024.
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Lembaga Bahasa telah giat mengadakan Ujian Bahasa Melayu bertulis dan lisan bagi calon-calon yang telah mencukupi syarat-syarat kelayakan di bawah Bab 5(1) dan 8(1) dari Akta Taraf Kebangsaan Brunei.
Ujian Bahasa Melayu bertulis kali ke-41 dan ke-42 telah diadakan pada bulan Januari dan Oktober 2024 dengan kehadiran seramai 1,524 orang. Manakala ujian lisan telah diadakan sebanyak dua kali pada bulan Mei hingga Jun 2024 dan bulan September hingga oktober 2024 dengan kehadiran seramai 165 calon.
Ini jelas mencerminkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kesejahteraan rakyat dan membuktikan betapa Baginda Sultan sentiasa memastikan setiap penduduk yang berhak dan layak untuk dianugerahkan sebagai warganegara Negara Brunei Darussalam.
Perkara berkenaan antara yang turut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada Persidangan MMN ke-21 bagi hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah membuat semakan semula ke atas Kurikulum Kertas Ujian Bertulis Bahasa Melayu (KKUBBM) yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2004.
Kurikulum edisi 2024 ini adalah sebagai bahan rujukan kepada calon yang akan menduduki Ujian Bertulis Bahasa Melayu (UBBM) dan Calon yang akan menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu (ULBM).
“Rasional semakan adalah bagi mensejajarkan isi kandungan KKUBBM dengan tujuan sebenar UBBM dan ULBM, supaya ianya akan menjadi alat pengukuran yang sahih dan konsisten, selaras dengan fungsi dan tujuan sebenar ianya diadakan,” tekannya.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menyentuh berkenaan dengan permohonan permit masuk atau permohonan bagi mendapatkan status penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, dari tahun 2020 sehingga 1 Mac 2025, seramai 2,151 pemohon telah diperkenankan untuk menjadi penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.
Dari jumlah itu, sebanyak 1,241 pemohon adalah terdiri daripada penduduk berstatus stateless, manakala 910 pemohon terdiri daripada warganegara asing di bawah kategori isteri atau suami dan anak atau anak angkat kepada warganegara Brunei Darussalam atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam (PR Stateless Brunei).
“Pihak kementerian akan terus komited dalam memastikan semua permohonan diproses dengan telus sebagaimana peraturan yang berjalan pada masa ini,” tambah Yang Berhormat Dato.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan garispanduan dan syarat-syarat kelayakan bagi kategori permohonan Untuk mendapatkan taraf penduduk tetap Negara Brunei Darussalam juga telah dibuat penambahbaikan dan pengemaskinian, dan telah mula dilaksanakan pada 31 Disember 2024. Ini adalah salah satu usaha KHEDN bagi menjaga dan memeduli hal ehwal kebajikan, kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk negara ini.