Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited tingkat peluang perniagaan antara dua persatuan usahawan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebuah mercu tanda kolaborasi keusahawanan signifikan telah dicapai menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan Persatuan Usahawan Sarawak (SEA) yang berlangsung di Pavo Point, Kianggeh, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, di sini, penandatanganan MoU berkenaan menggariskan komitmen bersama untuk meningkatkan peluang perniagaan dan mengukuhkan hubungan dalam perdagangan dan pelancongan di antara kedua-dua wilayah.

    Kerjasama itu menjana sebuah platform bagi usahawan dari Brunei dan Sarawak untuk bekerjasama, bertukar-tukar idea dan membangunkan inisiatif bermanfaat bersama dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

    Pada majlis berkenaan, YEAB telah diwakili oleh Penolong Setiausaha YEAB, Awangku Abdul Azim bin Pengiran Yusof yang juga merupakan wakil bagi Presiden YEAB, Goh Chai Li, serta mewakili SEA ialah Presiden SEA, Khairulnizam Mohamed Khalid.

    Majlis itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan serta wakil-wakil daripada pelbagai persatuan perniagaan dari Brunei dan Sarawak.

    Khairulnizam dipetik menekankan signifikan kerjasama berkenaan dengan menyatakan bahawa ia membuka peluang yang signifikan bagi usahawan muda untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik dalam membina komuniti keusahawanan yang lebih dinamik serta inovatif.

    Beliau menambah bahawa SEA adalah kekal komited untuk menyediakan sebuah platform bagi usahawan-usahawan muda di Sarawak dan menerusi kerjasama dengan YEAB, ia akan memperkukuhkan lagi agenda keusahawanan dengan pelbagai inisiaitif dan projek usaha sama.

    MoU itu dihasratkan menjadi pemangkin bagi inisiatif keusahawanan dan projek usaha sama masa hadapan di antara YEAB dan SEA.

    Kerjasama itu menandakan langkah ke hadapan penting dalam mengukuhkan hubungan di antara usahawan muda dari kedua-dua wilayah dan menjana lebih banyak peluang untuk kolaborasi perniagaan rentas sempadan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN YEAB
    Awangku Abdul Azim dan Khairulnizam Mohamed Khalid semasa menandatangani MoU berkenaan. – GAMBAR SERAHAN YEAB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda