Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited tingkatkan beras negara

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) terus berusaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara ke arah meningkatkan tahap sekuriti makanan negara.

    Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan menandatangani perjanjian bagi dua buah projek iaitu penyewaan tapak bagi projek pengeluaran padi secara komersial dengan Yaz & Wyn Enterprise dan Projek To Conduct Electrical Resistivity Thermography (Ert), Install Trial (Tube) Wells And Analysis Of Groundwater Sample di KKP Junjungan/Limau Manis dan KKP Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara, KKP Lot Sengkuang, Daerah Belait dan KKP Lekiun, Daerah Temburong dengan Preston Geocem (B) Sdn Bhd.

    Majlis penandatanganan perjanjian-perjanjian berkenaan berlangsung di Bilik Harmoni, Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di Lapangan Terbang Lama Berakas, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, di sini, bagi penandatanganan perjanjian penyewaan tapak, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah diwakili oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Hanifah dan disaksikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Haji Rusali bin Haji Sapar, manakala itu Yaz & Wyn Enterprise telah diwakili oleh pemilik syarikat, Awang Ezwyn bin Haji Abu Bakar dan disaksikan oleh pengurus syarikat, Awang Mohd Tarmizzy bin Haji Mohd Jamil.

    Perjanjian penyewaan tapak itu adalah bagi KKP Panchor Murai A dan B seluas 110 hektar yang telah ditawarkan secara terbuka melalui Request for Proposal pada Mei 2017.

    Hajah Aidah (dua, kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Awang Ezywn (dua, kanan) selepas penandatanganan perjanjian penyewaan tapak. – Gambar oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

    Projek itu dijangka akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran beras negara iaitu kira-kira 1,150 tan metrik padi (690 tan metrik beras) setahun.

    Pengeluaran padi pada skala komersial merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi bagi jangka masa yang panjang.

    Dengan perlaksanaan projek ini secara berskala besar, ia akan menjana ekonomi skala (economy of scale) bagi pembelian bahan-bahan input pertanian seperti Baja, racun serta jentera dengan harga yang lebih rendah yang mana akan dapat mengurangkan kos pengeluaran padi dan seterusnya memberikan pulangan hasil pendapatan yang lebih tinggi.

    Tempoh penyewaan tapak berkenaan adalah untuk tempoh lima tahun dan boleh diperbaharui tertakluk kepada pencapaian syarikat dalam memajukan tapak-tapak berkenaan dengan memuaskan.

    Dalam majlis yang sama, menurut kenyataan itu lagi, perjanjian bagi projek eksplorasi dan penganalisisan sumber air bawah tanah juga telah diwakili oleh Hajah Aidah dan disaksikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Saidin bin Namit, manakala itu Preston Geocem (B) Sdn Bhd telah diwakili oleh pengarah urusan syarikat, Dayang Amalina binti Abdul Khalid dan disaksikan oleh penolong pengarah urusan syarikat, Awang Abdul Mutalif bin Mohd Tahir.

    Perjanjian projek bagi perkhidmatan eksplorasi dan penganalisisan sumber air bawah tanah telah ditawarkan secara terbuka melalui proses tawaran pada April 2018 yang mana projek itu bertujuan untuk mendapatkan sumber air yang boleh digunakan sebagai salah satu alternatif kepada sistem pengairan yang mencukupi bagi keperluan sesebuah lokasi yang spesifik dan kos efektif.

    Menurut kenyataan itu lagi, sebagai permulaan, projek penerokaan sumber air bawah tanah itu dilaksanakan melalui projek rintis dan menumpukan kepada kawasan-kawasan penanaman padi yang mana sistem pengairannya kurang lengkap dan juga kawasan-kawasan yang belum mempunyai sistem pengairan dan hanya mengharapkan air hujan sebagai sumber pengairan.

    Empat buah kawasan di negara ini telah dikenal pasti bagi perlaksanaan projek rintis berkenaan iaitu KKP Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara, KKP Limau Manis dan Junjungan, Daerah Brunei dan Muara, KKP Lot Sengkuang, Daerah Belait dan KKP Perdayan dan Lekiun, Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda