Komitmen, kerjasama hasilkan mutu kerja tinggi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Pemimpin muda perlu menggembleng tenaga, memberikan sepenuh komitmen, saling lengkap-melengkapi dan bantu-membantu di mana kerjasama yang diharap dengan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam pemikiran serta gerak kerja yang konsisten akan menghasilkan mutu kerja yang tinggi serta memperoleh hasil yang dihajati dan diharapkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Haji Yussof bin Haji Mohamad ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-72, 2021-2022 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB Sungai Akar, hari ini.

Beliau turut menekankan pentingnya untuk bekerja atas semangat satu pasukan dan satu keluarga yang memerlukan sinergi dan persefahaman supaya sesuatu usaha yang dilakukan akan mampu menzahirkan impak yang besar dan memberi manfaat yang berlimpah-ruah buat seluruh ahli-ahlinya.

Pada majlis berkenaan, Haji Yussof turut menyempurnakan penyampaian Sijil Pelajar Cemerlang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2021 kepada 22 orang murid dari sekolah-sekolah PGGMB.

Mesyuarat dimulakan selepas acara pembukaan rasmi di mana seramai 80 orang ahli perwakilan menyertai mesyuarat tahun ini yang mewakili beberapa zon dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong dengan mesyuarat dipengerusikan oleh pengerusi tetap PGGMB.

Agenda mesyuarat itu dimulakan dengan menyemak Minit Mesyuarat Perwakilan ke-71 dan membincangkan perkara-perkara yang berbangkit, sebelum minit berkenaan disahkan oleh majlis.

Agenda seterusnya ialah pembentangan laporan tahunan oleh setiausaha agung PGGMB dan diteruskan dengan laporan ketua pemeriksa kira-kira, diikuti dengan pembentangan penyata kewangan oleh setiausaha kewangan PGGMB dan pembentangan beberapa usul dan cadangan daripada jawatankuasa tertinggi.

Sesi mesyuarat diakhiri dengan pembubaran ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB bagi sesi perkhidmatan 2019-2022 dan pengumuman keputusan Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PGGMB baharu yang akan berkhidmat selama tiga tahun iaitu 2022 hingga 2025.

Haji Yussof menyempurnakan penyampaian Sijil Pelajar Cemerlang Peperiksaan PSR 2021 pada majlis tersebut.
Antara yang menghadiri majlis pembukaan rasmi mesyuarat tersebut di Dewan Sekolah PGGMB Sungai Akar.