MIAMI GARDENS, 30 JUN – Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany memuji ancaman serangan tanpa henti oleh pasukannya walaupun permainan tidak konsisten ketika menang 4-2 ke atas Flamengo, pada aksi Piala Dunia Kelab kelmarin.
Kelab Jerman itu mendahului 2-0 dan sekali lagi mempunyai kelebihan dua gol pada kedudukan 3-1 tetapi pasukan dari Brazil itu berusaha bangkit untuk menyamakan kedudukan.
Walaupun berpuas hati dengan daya tahan pasukannya itu, bekas kapten Manchester City, Kompany amat kagum dengan cara pasukannya terus memberikan tumpuan dalam permainan.
“Saya fikir perkara paling penting dalam perlawanan ini adalah kami sentiasa kekal berbahaya,” katanya kepada pemberita.
“Tidak kira sama ada kami bertahan atau jika kami memiliki bola. Saya fikir jika kami memiliki bola kami sentiasa berbahaya.
“Bahkan ketika kami bertahan, semasa melakukan serangan balas, kami kelihatan seperti pasukan yang boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa,” tambahnya.
“Saya fikir kami kekal tenang dan kemudian kami menjaringkan gol pada waktu yang tepat hanya untuk mengurangkan sedikit tekanan. Apabila menentang pasukan seperti ini, sokongan peminat menjadi faktor besar dalam perlawanan. Perlawanan menentang Boca juga sama keadaannya. Ia terasa seperti perlawanan di gelanggang lawan bagi kami.
“Dan kami perlu menyesuaikan diri dan mencari jalan untuk menang,” jelasnya. – AFP


