Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seorang warganegara lelaki telah dikenakan kompaun sebanyak $100 oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara setelah didapati melakukan kesalahan membuang sampah di kawasan Pantai Jerudong pada 3 Jun lalu.
Kesalahan berkenaan dikesan daripada siasatan berikutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan. Tindakan ini diambil di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Individu berkenaan diarahkan untuk menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh pengeluaran. Sekiranya gagal berbuat demikian, kes akan dibawa ke mahkamah. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga $9,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara.
Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah secara haram dengan memberikan lokasi dan gambar-gambar bukti melalui aplikasi WhatsApp ke talian 8321581.
Pihak jabatan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang cakna dan terus menyokong inisiatif dalam memelihara kebersihan dan kesejahteraan persekitaran negara.



