BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mengeluarkan denda kompaun sebanyak $100 ke atas seorang individu kerana kesalahan membuang puntung rokok di kawasan Pasar Malam, Gadong.
Pesalah yang dikenal pasti oleh JASTRe sebagai Kirno telah didenda di bawah Bab 12 (1), Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021.
Individu berkenaan telah diberikan tempoh dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda kompaun.
Jika gagal menjelaskan bayaran denda kompaun, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
JASTRe dalam kenyataan akhbarnya, yang dikongsikan di sini, mengingatkan kepada mana-mana individu, orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.
