Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mengeluarkan kompaun sebanyak $100 ke atas seorang individu pada 30 April, kerana membuang puntung rokok berhampiran sebuah bangunan komersial yang terletak di Kampung Delima.
Pesalah telah dikenakan denda di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Am (Pindaan) 2021.
Individu tersebut diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan kompaun tersebut.
Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan tindakan mahkamah, di mana hukuman bagi kesalahan membuang sampah merangkumi denda antara $1,000 hingga $3,000 bagi kesalahan pertama, dan boleh mencecah sehingga $9,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan berulang.
JASTRe menyeru orang ramai dan para pemilik perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar, sambil menekankan kepentingan memastikan kawasan awam bebas daripada sampah sarap.