Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seorang individu telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021 disebabkan membuang sampah di merata tempat di kawasan awam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, menyatakan bahawa seorang pekerja berbangsa India telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500.00 di bawah akta itu dan dikehendaki untuk menjelaskannya dalam masa 7 hari.
Jika gagal berbuat demikian maka individu itu boleh dihadapkan ke mahkamah.
Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000.00 dan tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $3,000.00 dan tidak melebihi $9,000.00, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.


