Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 31 Ogos – Kompleks Beli-Belah KBSentral meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi pesakit Wad 15 Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Rombongan KBSentral telah dialu-alukan wakil hospital, Dayang Marhani dan beberapa orang jururawat termasuk Haji Mohd Reduan, pegawai bertanggungjawab bagi Wad 15.
Semasa kunjungan itu, lapan orang kanak-kanak yang sedang menerima rawatan telah menerima cenderahati selain dihiburkan dengan penampilan mengejut maskot KBSentral yang telah mampu menggembirakan kanak-kanak berkenaan.


Menyertai rombongan tersebut ialah Pembantu Pasaran dan Acara, Dayang Norazizah yang telah menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada ibu bapa dan kakitangan hospital yang telah memberikan peluang kepada mereka melaksanakan aktiviti itu yang turut bertujuan untuk terus memberikan sokongan dan hubungan baik dengan masyarakat di daerah ini.
Menurutnya lagi, aktiviti seperti itu akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa dengan harapan sedikit sebanyak meringankan beban dan menggembirakan kalangan masyarakat yang memerlukan.