BANGKOK, 27 MAC – Kabinet Thailand hari ini meluluskan draf undang-undang bagi menubuhkan kompleks hiburan sebagai langkah untuk merancakkan sektor pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, ketika mengesahkan kelulusan Kabinet terhadap Rang Undang-undang Kompleks Hiburan, menjelaskan bahawa kompleks tersebut tidak boleh disamakan dengan kasino.
“Kompleks hiburan bukanlah setara dengan kasino kerana kasino hanya akan merangkumi tidak lebih daripada 10 peratus daripada keseluruhan kawasan kompleks.
“Bakinya, sebanyak 90 peratus, akan menampilkan dewan konsert besar berkapasiti 50,000 orang, stadium tertutup, taman tema air, hotel dan restoran. Kemudahan ini dijangka menjana pendapatan antara 119 bilion hingga 238 bilion baht,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan hari ini. – Bernama
