Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Semua kompleks dan fasiliti sukan yang tertutup di seluruh negara termasuk gim dan boling di samping padang golf akan ditutup mulai esok sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Menurut beliau, penutupan tersebut adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak COVID-19.
“Dalam masa yang sama, penutupan tambahan adalah bagi muzium-muzium dan galeri, pusat-pusat belia dan setiap cawangan perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka,” tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dalam pada itu, beliau juga menyentuh mengenai kesukarelawanan bagi membantu menangani wabak COVID-19.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memaklumkan bahawa sepertimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan bagi para sukarelawan turut membantu dalam menangani wabak COVID-19, satu Jawatankuasa Ad-Hoc Sukarelawan Belia telah ditubuhkan yang berpusat di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). “Objektif jawatankuasa Ad-Hoc ini adalah untuk mengumpulkan para sukarelawan yang berhasrat untuk membantu usaha menangani wabak ini di samping menyelaras pembahagian sukarelawan bagi membantu Kementerian Kesihatan,” jelasnya.
Setakat ini, menurut beliau, seramai 135 orang sukarelawan telah berdaftar dan mereka amat mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan untuk sama-sama menyumbangkan tenaga dalam usaha murni itu.
Pendaftaran boleh dibuat melalui talian hotline 8913762.
