Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) kini mempunyai kompleks sukan baharu yang dikendalikan oleh Syarikat OSCO Sdn Bhd dengan pembukaan awal kompleks tersebut telah diadakan kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Jimmy Chan dari Syarikat OSCO dalam ucapannya menjelaskan, syarikat berkenaan akan memberikan perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan dan kontrak operasi selama enam tahun.
Kompleks Sukan UBD yang terletak di sebidang tanah seluas 30 ekar itu menyediakan kemudahan luar dan dalam antaranya tiga kemudahan bola jaring, sembilan kemudahan badminton, tiga kemudahan bola keranjang, gimnasium dua tingkat dengan dua bilik studio, kolam renang, padang bola a dan b dan juga padang ragbi, futsal, hoki dan banyak lagi.
Pembinaan kompleks sukan dengan kemudahan terkini itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UBD, kakitangan UBD dan juga orang awam yang meminati bidang sukan.

Ia juga bertujuan untuk menampung permintaan rekreasi sukan untuk komuniti universiti dan juga menyediakan pengalaman pelajaran dinamik bagi melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti.
Kesemua kemudahan akan ditambah baik dan dikembangkan dengan kemudahan-kemudahan lain sekali gus membuka peluang-peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditempatkan di kompleks sukan berkenaan seperti kafe sukan, medan selera, kedai-kedai runcit, taman dalam bangunan, smart locker, pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya.
Sejurus majlis pembukaan kompleks berkenaan, tetamu kehormat dan para jemputan khas juga dibawa melawat ke sekeliling bangunan dan melihat lebih dekat kemudahan-kemudahan yang ditawarkan.
Antara kemudahan yang tersedia sekarang ialah pengurusan permainan bola padang dan futsal yang dikendalikan oleh Super Squad.
Selain itu, perkhidmatan sukan VR juga tersedia bagi mereka yang meminat sukan berkenaan.