Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komputer kecil bantu kurangkan gas rumah hijau

    EXMOUTH, UNITED KINGDOM – Sebuah pusat rekreasi di Exmouth, barat daya England, menggunakan pusat data mini untuk memanaskan kolam renang dalamannya, menguji penyelesaian inovatif yang mengurangkan bil tenaga dan jejak karbonnya.

    Pemasangan di tapak menangkap haba yang dijana oleh sekumpulan komputer, membawa suhu kolam renang sepanjang 25 meter itu ke tahap yang dikehendaki sekitar 65 peratus sepanjang masa, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada dandang gas.

    Deep Green, syarikat UK yang mengendalikan projek itu, memberikan haba secara percuma dan menanggung kos elektriknya sendiri tetapi mengenakan bayaran kepada pelanggan untuk menggunakan komputer mereka yang boleh digunakan untuk pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan.

    “Ia adalah hubungan simbiotik. Kami dapat menyejukkan komputer kami secara percuma,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Deep Green, Mark Bjornsgaard kepada AFP di Pusat Rekreasi Exmouth, tapak utama mereka.

    “Kolam renang melakukan kebaikan yang sama besar seperti kita.”

    Bjornsgaard mengangkat penutup kotak bersaiz mesin basuh pinggan mangkuk berwarna putih yang mengandungi komputer yang tenggelam dalam minyak mineral bagi menangkap haba berlebihan di Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England, baru-baru ini. – Gambar AFP
    Gambar bertarikh 13 Jun menunjukkan komputer tenggelam dalam minyak di pusat pemprosesan data di Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England. – Gambar AFP
    Gilpin bergambar di luar Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England, pada 13 Jun. – Gambar AFP
    Bjornsgaard menerangkan teknologi di sebalik pusat pemprosesan data di Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England, pada 13 Jun. – Gambar AFP
    Seorang penjaga kolam renang berjalan di sepanjang pinggir kolam renang di Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England, baru-baru ini. – Gambar AFP
    Gambar yang diambil pada 13 Jun menunjukkan sistem pertukaran haba di dalam bilik loji, di Pusat Rekreasi Exmouth, barat daya England. – Gambar AFP

    Bjornsgaard mengangkat penutup kotak bersaiz mesin basuh pinggan mangkuk berwarna putih, mendedahkan komputer yang tenggelam dalam minyak mineral yang menangkap haba berlebihan.

    Minyak tersebut kemudian mengalir ke penukar haba di mana ia bertemu dengan air sejuk dari kolam renang.

    “Pusat data biasa hanya melepaskan haba itu. Ia menggunakan banyak air untuk menyejat haba keluar,” kata Bjornsgaard sambil menambah bahawa 99 peratus daripada haba tersebut dilepaskan ke atmosfera.

    Menurut Bjornsgaard, kira-kira separuh daripada kos mengendalikan pusat data digunakan untuk menyejukkan komputer.

    “Kami tidak mempunyai kos tersebut. Jadi dari sudut pandangan alam sekitar dan kelestarian, ia adalah satu perkara yang sangat baik untuk dilakukan,” katanya.

    Penjimatan yang ketara

    Peter Gilpin, Ketua Pegawai Eksekutif LED Community Leisure, yang mengendalikan kolam renang tersebut, berkata penggunaan teknologi Deep Green datang ‘sangat tepat pada masanya’ selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lepas yang menyebabkan harga tenaga melambung tinggi.

    Bayaran utiliti biasanya menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah kos pengendalian pusat rekreasi itu dan bil gas tahunan kolam renang meningkat lebih tiga kali ganda kepada hampir £80,000 (AS$102,000) sebelum mereka memasang pusat data pada bulan Mac, tambahnya.

    “Kami telah terkesan agak teruk oleh kenaikan kos gas sepanjang musim sejuk tetapi kami berharap pada musim sejuk yang seterusnya, sebahagian besar kos pemanasan kami akan ditanggung oleh teknologi Deep Green,” kata Gilpin.

    Walaupun masih awal untuk menilai hasil dalam jangka masa panjang, mereka melihat ‘pengurangan penggunaan gas’ dan ‘penjimatan yang ketara’ walaupun dengan kos tenaga telah menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Beliau menambah bahawa ‘bukan sahaja ia mengurangkan kos tenaga dan penggunaan gas, yang merupakan manfaat utama, tetapi… kami mengurangkan jejak karbon kami’.

    Gilpin berkata mereka ‘bangga’ menjadi tapak pertama yang menggunakan teknologi Deep Green dan kini sedang mengkaji kemungkinan memasangnya di kolam renang lain yang mereka uruskan.

    Tetapi sekarang mereka mungkin berhadapan dengan persaingan.

    Bjornsgaard berkata mereka telah melihat ‘permintaan melonjak tinggi’, dengan beribu-ribu tapak berpotensi di seluruh Eropah ingin menggunakan teknologi mereka, terutamanya kolam renang dan sistem pemanasan daerah.

    Pada masa yang sama, semakin banyak syarikat ingin menggunakan komputer Deep Green kerana ia ‘mesra alam’ dan ‘jauh lebih murah daripada pembekal awan biasa mereka’, kata Bjornsgaard.

    “Tetapi kami juga melakukan beberapa kebaikan sosial, bukan? Kami memanaskan kolam renang dan membantu kolam renang agar dapat terus beroperasi,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda