KUALA LUMPUR, 31 Julai – Komunikasi dan penyelarasan kurang berkesan di antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pendidikan dikenal pasti antara punca sebuah surau sekolah di Sabah yang baharu diperbaiki, terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan surau baharu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.
Menurut laporan itu, surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di Penampang yang telah dibaiki dengan kos RM135,735 pada 31 Mac 2015, dirobohkan untuk pembinaan surau baharu bernilai RM469,960.
Permohonan bagi pembinaan projek surau itu dikemukakan pengerusi surau tersebut dan diluluskan di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri, ICU JPM.
Menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, pembinaan surau berkenaan satu pembaziran kerana pembaikan surau lama telah siap dan sedia untuk digunakan.
“Pembaziran ini dapat dielakkan sekiranya wujud penyelarasan berkesan di antara ICU, JPM dan Kementerian Pendidikan. Selain itu, tatacara pelupusan aset tak alih tidak dilakukan mengikut ketetapan,” kata laporan itu.
Kelemahan berkenaan ditemui susulan pengauditan yang dijalankan di tiga sekolah di Sabah iaitu SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang; SMK Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan SMK Agaseh, Lahad Datu yang dijalankan antara Julai hingga Oktober 2016.
Sementara itu, maklum balas Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu yang diterima Jabatan Audit Negara pada 21 April 2017, menyatakan pihak Kementerian tidak dimaklumkan berkaitan permohonan sekolah kepada JPM bagi membina surau baharu.
Oleh kerana itu, penyenggaraan surau yang dilaksanakan kementerian adalah berdasarkan permohonan sekolah disebabkan faktor keselamatan pelajar yang menggunakan surau berkenaan. – Bernama