Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komunikasi rentas sempadan dibuka semula

    SEOUL, Korea Selatan, 3 Jan – Korea Utara hari ini mengumumkan bahawa ia akan membuka semula rangkaian komunikasi antara sempadan dengan Korea Selatan, menurut pegawai di Seoul, satu lagi petanda pengenduran permusuhan di antara kedua-dua negara selepas setahun menyaksikan Utara menjalankan ujian bom nuklear dan peluru berpandu, dan kedua-dua negara Korea dan Washington mengeluarkan ancaman peperangan.

    Pengumuman itu, yang disiarkan dalam ucapan radio negeri Korea Utara yang diperhatikan oleh Seoul, menyusuli satu tawaran Korea Selatan semalam selepas rundingan peringkat tertinggi bersama Korea Utara untuk mencari jalan bekerjasama dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk pada bulan depan di Selatan. Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Isnin mencadangkan Utara mungkin menghantar delegasi perwakilan ke Sukan Olimpik PyeongChang.

    Walaupun perkembangan tersebut merupakan satu petanda positif yang menunjukkan bahawa kedua-dua negara sedang berusaha untuk mempertingkatkan hubungan, namun, tidak ada jaminan bahawa ketegangan akan reda. Terdapatnya percubaan beberapa tahun kebelakangan ini oleh pesaing-pesaing untuk berunding, dan apabila mereka bertemu, usaha sering berakhir dengan kebuntuan atau tuduh-menuduh. Korea Utara tidak berkata sama ada ia akan menerima tawaran Korea Selatan untuk mengadakan rundingan.

    Kementerian Penyatuan Korea Selatan, yang memerhatikan media negeri Korea Utara, berkata Utara merancang untuk memulihkan rangkaian komunikasi di kampung sempadan Panmunjom lewat hari ini.

    Ri Son Gwon, pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Aman, membuat pengumuman bagi pihak Kim Jong Un, menurut Kementerian Penyatuan Seoul.

    Ri berkata Korea Utara akan berusaha berunding dengan Korea Selatan dengan cara yang “ikhlas dan hati-hati” dengan “mendukung semangat pemimpin tertinggi,” yang merujuk kepada Kim, kata kementerian. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda