Komuniti Malaysia semarak Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sempena bulan Ramadan tahun ini, Persatuan Kebajikan Melayu SeMalaysia (PKMS) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, dan warga Malaysia di negara ini sekali lagi menjayakan Program Pengagihan Bubur Lambuk di Restoran Amanah Harrith, Jerudong.

Sebanyak 3,000 kontena telah diagihkan kepada orang ramai dan dihantar ke masjid-masjid terpilih.

Hadir di Restoran Amanah Harrith bagi menyempurnakan pengagihan bubur tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

Ketika ditemui, Tuan Yang Terutama menyatakan bahawa bulan Ramadan ini merupakan bulan yang menumpukan untuk menggalakkan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Oleh itu program seumpama itu adalah salah satu daripada inisiatif ke arahnya

Tuan Yang Terutama seterusnya berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan di tahun-tahun hadapan dalam menyemarakkan lagi semangat bergotong-royong antara komuniti Malaysia di negara ini dengan Suruhan-jaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.

TYT Dato’ Raja Reza menyampaikan sumbangan bubur lumbuk kepada kanak-kanak di Restoran Amanah Harrith. – Gambar oleh Muiz Matdani
TYT Dato’ Raja Reza turut serta dalam membeli-belah Hari Raya bersama kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, seramai 30 orang kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan telah dibawa membeli-belah Hari Raya dalam projek Care4Komuniti di YMRM, Tungku Link, kelmarin.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif kakitangan Petronas Carigali dalam usaha mereka memeduli kesejahteraan dan memberi keceriaan kepada golongan kanak-kanak kurang berkemampuan di bulan Ramadan dan Syawal ini.

Hadir menyertai dalam projek berkenaan ialah TYT Dato’ Raja Reza selaku tetamu kehormat majlis.

Tuan Yang Terutama menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap akan lebih banyak lagi program seumpamanya yang dilaksanakan oleh syarikat Malaysia di negara ini dalam membantu keluarga yang kurang berkemampuan terutama sekali semasa bulan Ramadan yang mulia ini.

Antara lain tujuan acara berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan berkenan sama-sama merasakan kegembiraan dalam menyambut kedatangan Syawal dengan mengenakan pakaian baharu sama seperti kanak-kanak yang lain.