Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komuniti nelayan kuno Cina beralih ke darat

    DATANG, China – Sepanjang sungai deras di selatan China, komuniti penangkapan ikan kuno yang pernah hidup dan bekerja di atas air kini menemui jalannya di kawasan tanah.

    Bot nelayan kayu, jaring dan tiang penggerak buluh adalah suatu yang tipikal bagi tradisi ‘Tanka’ – istilah untuk generasi kaum Cina luar bandar yang telah membentuk kewujudan akuatik.

    Mereka bukan minoriti etnik, tetapi sebaliknya digelar oleh kerana adat mereka yang unik dan kapalnya yang berbentuk telur (Tanka, atau ‘danjia’, adalah homofon atau kata sembunyi bagi perkataan Cina untuk telur).

    Di bandar Datang, wilayah Guangdong, rumah kepada penduduk Tanka yang terbesar di negara ini, cara hidup ini kian berubah apabila Tanka muda ingin mencari peluang kehidupan yang lebih baik di tanah kering.

    Chen Yongfu, berusia 45 tahun yang berasal dari Datang, membesar di atas bot nelayan tetapi kini bekerja di sebuah restoran di bandar.

    Kelihatan bot-bot dari masyarakat Tanka berada di sebuah sungai di Datang. – AFP
    Seorang lelaki dari masyarakat Tanka merebus cengkerang di pantai Datang. – AFP

    “Saya berpindah dari bot lama, selepas saya lulus dari sekolah,” kata Chen. “Saya pergi bekerja di bandar-bandar yang lebih besar dan tidak pernah kembali ke kehidupan bot nelayan seperti ini.”

    Dia teringat bahawa walaupun majlis perkawinan sering diadakan di perahu, padat dengan meja-meja dan tetamu, namun ia menciptakan “suasana yang cukup meriah.”

    “Kini,” Chen berkata, “tiada lagi budaya perkahwinan untuk Tanka kerana semua generasi muda telah bergerak ke kawasan tanah dan hidup seperti yang lain.”

    Namun, walaupun terdapat insentif kerajaan untuk berpindah ke rumah di darat, beberapa orang Tanka yang lebih tua sagat berpegang teguh kepada pekerjaan asal mereka itu.

    Lin Ziqiang, 43, dan isterinya, dengan nama keluarga Chen, membawa bot mereka itu untuk menangkap ikan pada waktu matahari terbit setiap hari dan kembali semula ke pantai bersebelahan dengan jambatan yang menjulang tinggi sekitar jam 1 petang.

    Seorang lelaki dari masyarakat Tanka membawa bakul jaringnya yang dipenuhi ikan untuk dijual di Datang. – AFP
    Penduduk dari masyarakat Tanka kembali ke pantai setelah memancing pada waktu malam di Datang, di wilayah Guangdong, selatan China. – AFP

    Kemudian pada waktu petang, pasangan itu menjual tangkapan ikan segar mereka di pasar berdekatan dengan Sungai Beijiang, dan memperolehi antara 3,000 dan 4,000 yuan (AS$460 dan AS$610) sebulan. Ia adalah satu-satunya pekerjaan yang dimahiri oleh Lin dan Chen. Mereka bertemu di perahu Tanka semasa zaman kanak-kanak lagi dan ayah Lin masih mengikuti mereka sekali-sekala di atas air.

    Kehidupan anak-anak mereka akan berbeza: anak lelaki mereka berusia 22 tahun bekerja di bandar, manakala anak lelaki mereka berusia 19 tahun belajar di universiti. Komuniti hari ini adalah seperti pertembungan dua budaya – nelayan tua dan Tanka muda cuba menguasai kawasan tanah.

    Bot-bot diletakkan secara tidak teratur di sepanjang pesisir pantai, dek-dek mereka dipenuhi dengan peralatan memancing dan selimut. Kaum lelaki dan wanita kelihatan bertopi jerami sembil memegang jaring ikan di penghujungnya.

    Di pagi hari di Datang baru-baru ini, kelihatan seorang wanita tua berkasut getah berada di tasik kecil sambil menarik pancingnya. Berada di sampingnya, seorang kanak-kanak perempuan memakai baju seragam merah dan putih dengan membawa beg puteri Disney berwarna merah jambu. Dia melompat dari sebuah bot menuju pantai berpasir, dan kemudian berjalan pergi ke sekolah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda