Thursday, July 4, 2024
31.7 C
Brunei

    -

    Komuniti wanita terus diperkasa menerusi program keusahawanan

    PETALING JAYA – Wanita berwajah manis, sentiasa ceria dan positif ini turut berhati waja dan menjadi inspirasi dalam kalangan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

    Isham Romli, 60, seorang ibu tunggal, sebelum ini dikenali sebagai sangat pemalu dan susah mahu bergaul dengan orang, bergelut dengan pelbagai rintangan untuk membesarkan tiga orang anaknya, masing-masing berumur 17 tahun, 14 tahun dan sembilan tahun, secara bersendirian.

    Sejak suaminya meninggal dunia pada tahun 2007 akibat serangan jantung, dia yang mesra disapa Kak Misha menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah.

    “Saya pernah menjual nasi lemak, ambil upah menjahit dan pelbagai kerja, semata-mata untuk membesarkan anak-anak saya. Masa itu saya tidak pernah menyertai mana-mana kelas ataupun latihan intensif, pendapatan saya juga sangat tidak menentu.

    “Namun, Women of Will (WOW) mengubah kehidupan saya daripada seorang yang tidak tahu apa-apa, sehinggalah saya diberi latihan keusahawanan, diajar cara-cara memulakan perniagaan, langkah demi langkah, selain kemahiran seperti kelas menjahit dan keyakinan untuk pengucapan awam.

    Isham menyampaikan ucapannya pada majlis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang. – Bernama
    Siti Kamariah (tengah) bergambar ramai bersama-sama anggota WOW semasa majlis berkenaan. – Bernama
    Hasil-hasil jahitan daripada ahli PPWB yang diasaskan oleh WOW yang turut memperkasakan para ibu tunggal dan wanita PPR di sekitar Lembah Klang dan Kedah dipamerkan kepada orang ramai dalam satu majiis. – Bernama

    “Malah, kini saya diberi kepercayaan untuk memimpin Persatuan Pemimpin Wanita Berdaya (PPWB) yang diasaskan oleh WOW, untuk turut memperkasakan para ibu tunggal dan wanita PPR yang lain ” katanya kepada Bernama.

    WOW merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2016, bertujuan untuk membantu mengubah nasib golongan ibu tunggal dan wanita B40. Mereka dibekalkan dengan kemahiran untuk memulakan perniagaan masing-masing, dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.

    Kak Misha adalah antara komuniti wanita PPR Lembah Subang yang terdiri daripada golongan B40 dan ibu tunggal, menyertai WOW pada tahun 2016 menerusi program keusahawanan. Kumpulan ini membantu mengedarkan makanan untuk penghuni PPR ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat COVID-19 pada tahun 2020.

    PENDAPATAN SEHINGGA RM6,000 SEBULAN

    Selain Kak Misha, Norul Hidayah Ahmad Khalipah, 33, yang turut menghuni PPR Lembah Subang, tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan program WOW dengan mengusahakan perniagaan kuih muih tradisional secara dalam talian.

    Ibu kepada empat orang anak (berumur antara 3 hingga 15 tahun) itu berkata, sejak suaminya hilang pekerjaan ketika PKP, dia bertekad untuk mengubah nasib hidup mereka sekeluarga dengan berniaga.

    “Saya memulakan perniagaan penyajian makanan tapi sebelum ini tiada pengalaman, namun selepas menyertai program keusahawanan WOW, saya cuba untuk mengaplikasi apa yang dipelajari dan nampak ada perubahan positif.

    “Daripada hanya mendapat purata keuntungan RM1,000 sahaja (sebulan), namun selepas program WOW pendapatan saya mampu mencecah sehingga RM6,000,” katanya.

    10,000 WANITA PPR, RUMAH KOS RENDAH MENDAPAT MANFAAT

    Menurut Presiden WOW Datin Wira Goh Suet Lan, lebih 10,000 wanita di perumahan kos rendah dan PPR Lembah Subang mendapat manfaat daripada bimbingan program di bawah WOW selama lapan tahun sejak ia ditubuhkan pada tahun 2016.

    “WOW mengendalikan projek yang dapat membantu kehidupan wanita daripada golongan kurang bernasib baik dengan memberi peluang untuk diperkasa dan berdikari. Kami mempunyai program pembangunan keusahawanan, perniagaan komuniti, projek komuniti dan kebun organik,” katanya.

    Goh berkongsi pengalaman, ketika peringkat permulaan, pihaknya berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menganjurkan program dalam kalangan komuniti PPR dan perumahan kos rendah iaitu sukar mendapat kerjasama serta kurangnya sambutan daripada penghuni-penghuninya.

    “Pegawai-pegawai pembangunan komuniti kami mengambil masa berbulan-bulan untuk berjumpa dengan para peserta untuk memahami keperluan mereka dan berbincang untuk menarik penyertaan mereka dalam program kami.

    “Kami mahu membangun dan melakukan transformasi golongan wanita PPR terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah, mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, ibu tunggal serta ada anak-anak istimewa dalam keluarga mereka.

    “Jadi apabila mereka diberi bimbingan dan motivasi untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban kewangan mereka, sekali gus turut memberi sinar harapan kepada mereka untuk terus berkeyakinan berdepan dengan khalayak ramai,” katanya.

    DIPERLUASKAN KE NEGERI LAIN

    Kejayaan program WOW di PPR Lembah Subang mendorong pengurusan NGO itu untuk memperluaskan perlaksanaannya ke komuniti berpendapatan rendah lain seluruh Malaysia.

    “Kita boleh melihat PPWB berjaya ditubuhkan di bawah WOW dan diperluaskan ke 10 komuniti PPR dan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah. Kami turut berharap agar program WOW dapat menginspirasikan lebih ramai wanita komuniti tersebut untuk berdikari dan mengurangkan beban kewangan mereka.

    “Kami sangat bertuah kerana WOW mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan dan korporat, terutamanya daripada Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah bagi membiayai mikro kredit serta bantuan kewangan kepada para peserta untuk memulakan perniagaan dan mengadakan program pemerkasaan sejak 2016, ” katanya.

    Goh berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan lebih banyak agensi kerajaan, kumpulan pemikir, NGO dan perusahaan sosial untuk bekerjasama dengan WOW dan PPWB dalam menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti serta menangani keperluan komuniti melalui pendekatan dari akar umbi.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program pemerkasaan wanita PPR ini bukan sahaja hanya tertumpu kepada golongan wanita B40 sahaja, tetapi secara keseluruhannya turut memperkasakan seluruh isi rumah, terutamanya bagi anak-anak yang masih bersekolah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...