SEOUL, Korea Selatan, 13 Jun – Hyundai Motor Co sedang mengejar pasaran kenderaan sport utiliti yang berkembang pesat dengan SUV pertamanya yang menyasarkan Eropah dan Amerika Utara.
Pengeluar kereta Korea Selatan itu berkata hari ini Kona akan dijual pada bulan ini di Korea Selatan sebelum ia dilancarkan di Eropah dan Amerika Utara.
Hyundai Motor telah lama menumpu pada Sonata dan sedan lain, yang membantunya membina satu reputasi di Barat sebagai pengeluar kereta yang mempunyai nilai terbaik.
Namun dalam beberapa tahun ini, kebanyakan pertumbuhan dalam pasaran kereta global, terutamanya di China, telah datang daripada SUV. Keuntungan Hyundai yang merosot dan terlepas sasaran jualan tahunannya dalam beberapa tahun ini disumbangkan kepada kegagalannya untuk bertindak balas terhadap permintaan SUV yang meningkat di dunia.
Hyundai tiba lewat tetapi sekarang merancang untuk menambah pertaruhannya ke atas SUV.
Dengan pelancaran Kona, Hyundai berusaha mendapatkan satu bahagian daripada pasaran SUV – sektor yang berkembang paling pesat dalam pasaran kereta. Sektor itu meningkat sebanyak hampir 10 kali dari tahun 2010 hingga 2016, kata Hyundai, memetik data daripada IHS Automotive. Tahun ini, kadar pertumbuhan tahunan segmen itu dijangka mencecah 19 peratus.
Hyundai Motor hanya mempunyai empat model SUV, termasuk Creta, SUV yang menyasarkan pasaran membangun. Tucson dan Santa Fe memenuhi pembeli yang ingin mendapatkan SUV sederhana dan besar. Syarikat itu merancang menambah model SUV menjelang tahun 2020 dengan menambah SUV mini dan kenderaan eksekutif. Sebelum musim panas tahun depan, ia akan melancarkan SUV sel bahan api dan Kona elektrik.
Jualan Kona adalah penting untuk membantu membendung jualan kereta Hyundai yang merosot pada tahun ini di AS dan China, di mana satu reaksi yang hebat terhadap pemasangan sistem anti-peluru berpandu AS di Korea Selatan menjejaskan perniagaan Korea.
Dalam pasaran domestik, Hyundai mempunyai cabaran untuk memulihkan imejnya ekoran penarikan balik pimpinan kerajaan. Kona, dilengkapi dengan enjin 1.6-liter gasolin atau diesel, akan bersaing dengan Tivoli Ssangyong Motor, pemimpin dalam sektor SUV di Korea Selatan.
Menunjukkan kepentingan Kona kepada pengeluar kereta Korea Selatan, Chung Eui Sun, naib pengerusi Hyundai dan anak lelaki pengerusinya, menaiki pentas hari ini pada acara pelancaran di utara Seoul. Dinamakan sempena sebuah daerah di Hawaii, Kona meneruskan tradisi Hyundai yang menamakan kenderaan sempena satu rantau tertentu. – AP