Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konflik berpotensi cetus kejutan harga minyak

    WASHINGTON, 30 OKT – Peperangan antara Israel dan Hamas boleh mencetuskan kejutan harga bagi bahan mentah seperti minyak dan produk pertanian jika konflik memuncak di seluruh Timur Tengah, Bank Dunia memberikan amaran dalam laporan hari ini.

    Minyak sudah meningkat 6 peratus sejak pertempuran terbaharu, tercetus apabila pejuang Hamas dari Gaza menyerbu selatan Israel dan membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dan menculik hampir 240 tebusan, menurut pegawai Israel.

    Konflik antara Israel dan Hamas berlaku ketika perang Rusia di Ukraine telah pun memberikan tekanan kepada pasaran, dengan perang itu menjadi ‘kejutan terbesar kepada pasaran komoditi sejak 1970an,’ kata Ketua Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill.

    “Ia mempunyai kesan gangguan terhadap ekonomi global yang berterusan sehingga hari ini,” kata Gill dalam satu kenyataan.

    “Penggubal dasar perlu berwaspada. Jika konflik meningkat, ekonomi global akan menghadapi kejutan tenaga dua kali ganda buat kali pertama dalam beberapa dekad daripada perang di Ukraine dan konflik di Timur Tengah,” katanya.

    Kemungkinan kenaikan harga akan bergantung kepada apa yang berlaku kepada harga minyak dunia dan eksport, menurut Bank Dunia.

    Dalam senario optimistik, minyak boleh meningkat 3 hingga 13 peratus, antara AS$93 dan AS$102 setong.

    Senario median membayangkan harga meningkat sehingga AS$121, manakala senario terburuk akan menyaksikan minyak mencapai kemuncak antara AS$140 dan AS$157 – berpotensi melebihi paras tertinggi sepanjang masa yang tidak dilihat sejak 2008. – AFP

    Gambar fail menunjukkan kilang penapis minyak BP di Gelsenkirchen, Jerman pada 24 Oktober 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda