Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Konflik kekeluargaan, mesej kasih sayang Ajoomma

    Filem arahan He Shuming, Ajoomma merupakan projek kerjasama antara produksi dua negara melibatkan Singapura dan Korea Selatan yang menjalani penggambaran pada awal tahun ini.

    Menariknya Ajoomma baru-baru ini mendapat slot tayangan di Busan Film Festival Busan 2022, selain turut tercalon dalam beberapa festival filem antarabangsa termasuk Taipei Golden Horse Film Festival.

    Naskhah ini mengisahkan tentang seorang ibu tunggal dari Singapura yang tinggal bersama anak lelaki bujangnya yang berdepan dengan konflik tersendiri. Satu-satunya aktiviti yang gemar dilakukan Ajooma untuk menghiburkan hati adalah menonton drama bersiri Korea.

    Wanita pertengahan usia itu turut merancang untuk melancong ke Korea, tetapi apabila tiba masa, anaknya, Sam tidak dapat ikut sama atas alasan ingin menghadiri temuduga kerja di Amerika Syarikat.

    Kecewa dengan keputusan tersebut, ibu itu akhirnya memilih untuk pergi sendiri ke Korea bersama agensi pelancongan yang sudah ditempah. Di sana dia berdepan dengan pelbagai pengalaman dan cabaran yang bertentangan dengan harapan dan fantasinya. Ajooma juga berkenalan dengan lelaki sebayanya, Jung-su dan seorang bapa muda, Kwon-wo yang turut mempunyai konflik mereka tersendiri.

    Filem Ajoomma tidak hanya menumpu kepada karakter utama, watak-watak pembantu dalam filem ini juga berkembang baik dengan permasalahan berbeza. – Agensi

    Filem pertama usahasama Singapura dan Korea Selatan itu mengetengahkan konflik kekeluargaan yang begitu dekat dengan ramai orang terutamanya mereka yang hidup di kota besar.

    Karakter Ajoomma yang dibawakan oleh Hong Huifang mewakili wanita-wanita yang sering berdepan konflik melibatkan keluarga, pengorbanan, impian dan kasih sayang yang mempunyai cabarannya tersendiri dalam meneruskan kehidupan.

    Tidak hanya menumpu kepada karakter utama, watak-watak pembantu dalam filem ini juga berkembang baik dengan permasalahan berbeza, namun pada penghujungnya berkongsi mesej kehidupan sama.

    Bagi meredakan emosi penonton, elemen komedi turut diselitkan dalam beberapa babak filem ini. Pasti sahaja kita tersenyum sendiri apabila melihat gelagat Jung-su yang berusaha untuk berinteraksi dengan Ajooma biarpun tidak tahu berbahasa Mandarin mahupun Inggeris.

    Ketulusan hatinya membantu orang asing seperti Ajoomma yang sedang dalam kesusahan cukup memberikan kesan. Apatah lagi karakter itu berjaya dibawakan dengan baik oleh pelakon veteran, Jung Dong-Hwan yang sememangnya dikenali dalam siri popular Korea.

    Secara keseluruhannya, Ajoomma adalah sebuah naskhah yang sangat menarik dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...