KINABATANGAN – Kabus pagi menyelimuti hutan sekunder di lembangan Sungai Kinabatangan, wilayah yang menjadi pentas kisah pertentangan antara manusia dan gajah Borneo – dua spesies yang masing-masing sedang berjuang demi kelangsungan hidup.
Bagi Md Ismail Radzi, 45, seorang pekebun kecil dari Kampung Sukau, setiap kali melihat gajah melintasi kebunnya, perasaannya bercampur baur. “Mereka macam kawan lama… tapi sekarang, bila datang, saya rasa takut dan sedih. Bulan lepas 10 pokok sawit saya musnah,” katanya sambil menunjukkan sisa kebun yang ranap dipijak mamalia gergasi itu.
Gajah tidak datang sendirian. Biasanya dalam kumpulan – anak, ibu dan gajah jantan – meredah pagar dan kebun, meninggalkan jejak tapak yang besar dan tanaman yang hancur.
Statistik Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan 881 kes konflik manusia-gajah dalam tempoh tiga tahun sejak 2022. Dalam tempoh sama, 97 ekor gajah Borneo dilaporkan mati – angka yang menyedihkan bagi spesies terancam.
SPESIES DILINDUNGI
Gajah Borneo (Elephas maximus borneensis) adalah subspesies paling kecil dalam keluarga gajah Asia, namun cabaran yang mereka hadapi sangat besar. Kini diklasifikasikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), hanya kira-kira 1,000 ekor masih hidup dan sekitar 399 daripadanya ialah gajah dewasa yang matang untuk pembiakan.
Spesies ini dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.
Majoritinya boleh ditemui di Sabah, terutama di kawasan seperti Kinabatangan, yang sebelum ini merupakan hutan hujan tropika yang padat, tetapi kini terpecah-pecah oleh ladang dan perkampungan.
Namun perlindungan ini tidak bermakna bagi pekebun kecil seperti Md Ismail. “Kami tidak akan sesekali mencederakan haiwan ini, kami menyayangi mereka sepenuh hati. Mereka warisan kami, pusaka untuk anak-anak kami. Akan tetapi, siapa yang akan melindungi mata pencarian keluarga saya dan masa depan anak-anak saya?” soalnya dengan suara yang sedikit tersekat.
Kos untuk menanam semula pokok sawit boleh mencecah RM18 hingga RM20 sepokok dan kerugian semalaman boleh menjangkau ribuan ringgit. Gajah pula bijak, mereka menyasarkan pokok muda yang masih lembut, yang mengandungi umbut kegemaran mereka.
Menurut Md Ismail, tiada pampasan yang benar-benar membantu dan insurans tanaman sukar diperoleh bagi pekebun kecil. Malah, usaha mereka menjaga ladang menjadi lebih rumit apabila perlu berjaga malam untuk menghalau gajah.
SUMBER REZEKI PENDUDUK
Kisah Md Ismail hanyalah satu daripada ratusan di pantai timur Sabah. Di daerah seperti Tongod, Lahad Datu, Telupid dan Kalabakan, konflik sebegini bukan lagi luar biasa – ia telah menjadi rutin. Lebih memilukan, daerah-daerah ini turut disenaraikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia.
“Pekebun tidak berdaya apabila gajah-gajah liar ini menceroboh ladang mereka. Kami tidak boleh tembak atau mencederakan haiwan ini kerana perbuatan itu satu kesalahan berat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.
“Petani kami bergantung pada tanaman padi dan kelapa sawit sebagai punca rezeki. Akan tetapi, belum sempat padi menguning, gajah tiba dulu. Begitu juga dengan kelapa sawit, tidak sempat berbuah, gajah datang dan tumbangkan,” kata Masiung, menambah serangan haiwan itu bagaikan rutin tahunan sejak empat tahun lalu.
Menurut Masiung, beliau telah beberapa kali membangkitkan isu mendesak itu di persidangan DUN, mengusulkan agar bantuan diberikan kepada petani yang menjadi mangsa pencerobohan hidupan liar.
AMAT MENGECEWAKAN
Bagi Hamzah Maulad, 68, yang pernah bertugas sebagai renjer hidupan liar selama lebih tiga dekad, konflik ini tidak boleh diselesaikan dengan solusi sepihak.
“Kita perlu tengok dari dua sudut. Gajah tak ada tempat, manusia pula nak tanam untuk hidup,” katanya. Beliau masih ingat dengan jelas tragedi hitam di Hutan Simpan Gunung Rara pada 2013, apabila pasukan renjer menemui 14 bangkai gajah dalam masa sebulan, dipercayai diracun.
“Kami rasa seolah-olah kami telah gagal. Bedah siasat mendapati haiwan terbabit mengalami pendarahan yang teruk dan ulser pada saluran gastrousus selain pendarahan dari mulut dan dubur,” kenangnya.
Kes seumpamanya masih berlaku. Awal tahun ini, seekor gajah dijumpai dikerat di tepi jalan Kalabakan-Sapulut, diikuti satu lagi di kawasan Tibow-Sapulut pada April. Kedua-dua kes dipercayai berkaitan penyeludupan bahagian tubuh gajah – tetapi tiada suspek ditangkap.
BERSATU HATI
Dr Nurzhafarina Othman, pakar pemuliharaan gajah dari Universiti Malaysia Sabah, menegaskan pemuliharaan gajah tidak boleh dipisahkan daripada kepentingan manusia.
“Kalau kita abaikan apa yang penduduk kampung beritahu, kita takkan faham isu sebenar,” katanya.
Beliau menerima Whitley Award 2025 (Oscar Hijau) atas sumbangannya dalam melindungi gajah Borneo. Menerusi NGO Seratu Aatai, beliau berusaha membina kepercayaan antara komuniti dan pemulihara, menyemai kefahaman bahawa gajah bukan musuh – tetapi sebahagian daripada ekosistem yang perlu dikongsi.
Bercakap kepada Bernama tentang kerja pemuliharaan gajah yang dilakukannya, Nurzhafarina yang berasal dari Kota Sarang Semut, Kedah, berkata manusia ialah pemain utama dalam usaha tersebut.
“Kita tidak boleh tumpukan pada gajah semata-mata. Sebenarnya haiwan ini lebih senang untuk dipelajari. Gajah tidak mudah menukar fikiran, jadi senang untuk difahami.
“Lain pula kisahnya dengan manusia yang boleh menyokong hari ini dan bertukar fikiran keesokannya. Namun gajah bukan pemerhati, sebaliknya pemain utama… justeru, kita cuba imbangi kedua-duanya demi pemuliharaan yang bermakna.”
BUKAN PERTARUNGAN EPIK
Bagi beliau, pemuliharaan gajah Borneo bukan isu kerajaan atau inisiatif NGO semata-mata, tetapi tanggungjawab semua orang, terutama yang tinggal berdekatan dengan haiwan itu. “Semua ini ialah tentang membantu penduduk kampung melihat gajah sebagai sebahagian komuniti mereka,” tegasnya.
“Orang membincangkan konflik manusia dan gajah ini seolah-olah satu pertempuran besar, tetapi kami sedang berusaha mengubah tanggapan itu. Tidak cukup kalau sekadar meningkatkan kesedaran, kita perlu menyelami kehidupan komuniti, belajar bersama-sama mereka dan benar-benar memahami cabaran yang mereka hadapi.”
Melalui Seratu Aatai, program dijalankan untuk membantu komuniti memahami gajah – bagaimana ia bergerak, berkelakuan dan bagaimana untuk tinggal bersebelahan secara selamat. Namun, semua ini memerlukan sokongan praktikal dan jangka panjang.
“Yang diperlukan oleh komuniti ini ialah sokongan praktikal, iaitu peralatan dan sumber perlindungan. Namun, buat masa ini mereka sedang bergelut untuk menangani (pencerobohan hidupan liar itu),” katanya.
MEMAHAMI GAJAH
Gajah bukan penceroboh, sebaliknya penduduk asal kawasan tersebut.
“Kawasan tersebut ialah ‘medan selera’ tinggalan nenek moyang mereka. Mereka bukan merayau secara rambang, tetapi kawasan tersebut tempat ia cari makan sejak dahulu kala dan telah terpahat dalam ingatan kolektif mereka.
“Apabila gajah muncul (di satu-satu kawasan), gajah cuma mengikut laluan yang diwarisi, mencari makanan di kawasan yang dahulunya ialah wilayahnya. Memang pahit, kerana makhluk yang mengagumkan ini menjadi tetamu tidak diundang di tanah warisannya sendiri,” katanya.
Kini, laluan itu telah berubah menjadi ladang sawit, jalan raya dan kampung. Gajah tidak punya pilihan, selain menempuh kawasan manusia. Gajah jantan lebih berani, terutama ketika musim mengawan kerana mereka perlu membina saiz badan dan kekuatan. Gajah sanggup ambil risiko demi mencari makanan.
“Gajah ada ingatan luar biasa. Gajah tahu mana ladang yang ada pokok muda, gajah tahu pagar mana boleh dibuka. Gajah bukan haiwan ganas, gajah haiwan pintar,” katanya.
KISAH SANDI
Antara kisah yang menyentuh hati ialah Sandi, seekor gajah jantan yang dikaji oleh Nurzhafarina sejak 2017.
Menggambarkan Sandi sebagai pejuang yang penuh luka pertempuran dan menjadikan ladang kelapa sawit di Kinabatangan sebagai “kerajaannya”, kata Nurzhafarina semasa pertemuan pertama mereka pada 2017, gajah jantan tersebut baru berusia 20an, namun tubuhnya sarat dengan kesan-kesan kehidupan.
Ekornya putus, telinga koyak serta tubuh pula penuh parut termasuk akibat ditembak dengan senapang guli – memantulkan kisah pertembungannya dengan manusia.
“Akan tetapi ini bukan gajah biasa yang suka ceroboh tanaman. Ia jadikan ladang kelapa sawit itu sebagai ‘rumahnya’ dan kami gelar ia pemastautin tetap. Yang paling menarik, gajah ini juga tidak pernah mengganggu sesiapa. Santai saja, macam tidak ada apa-apa.”
Selama bertahun-tahun memerhati Sandi, suatu hari Nurzhafarina sedar bahawa gajah jantan itu bukan setakat mandiri, tetapi juga menjadi guru. Ia mengajar dua ekor gajah muda cara melepasi pagar elektrik.
“Sandi tidak rempuh pagar elektrik dengan kekuatannya, tetapi ia mencipta satu teknik. Ia akan menggulung belalainya ke dalam mulut, angkat kabel pagar dengan gadingnya, tunggu beberapa detik dan kemudian dengan lemah-lembut ibarat mahaguru seni mempertahankan diri, dia angkat kakinya satu demi satu (melepasi kabel pagar).
“Dua ekor gajah muda itu pula macam anak murid, memerhati guru mengajar. Pada mulanya, mereka cuba masuk dengan menerjah kepala dulu… bayangkan haiwan seberat beberapa tan cuba menari limbo di bawah kabel pagar elektrik,” ujarnya, tergelak kecil.
“Namun Sandi guru yang sabar dan tunjukkan cara betul. Lama-kelamaan dua perantis itu dapat menguasai kemahiran tersebut. Ini bukan sekadar mengadaptasi tetapi si pintar menunjukkan kebijaksanaannya.”
Sandi mati pada 2021. Walaupun punca kematiannya tidak dapat dipastikan, haiwan itu yang hidup lebih 40 tahun, meninggalkan satu legasi yang memberi inspirasi kepada manusia dan juga gajah lain.
Mengimbau saat-saat akhir gajah itu, Nurzhafarina berkata Sandi memilih satu tempat yang sunyi di dalam sungai untuk berbaring. Dua ekor gajah lain datang menjenguknya. Beberapa jam kemudian, Sandi menghembus nafasnya yang terakhir.
“Bagi saya,” sambungnya, matanya berkaca, “Sandi melambangkan ketabahan gajah. Makhluk hebat ini dipaksa menyesuaikan diri dalam dunia yang dicipta bukan untuknya, namun tetap dia tempuhi dengan tabah.
“Sandi ialah bukti kemampuan luar biasa haiwan ini untuk menyesuaikan diri dan bertahan dalam dunia hari ini yang kian hilang sisi ‘liarnya’ dan semakin kurang toleransi.” – Bernama