Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongres AS sahkan kemenangan Trump dalam pilihan raya

    WASHINGTON, 7 JAN – Kongres Amerika Syarikat (AS) kelmarin secara rasmi memperakui kemenangan Presiden terpilih AS, Donald Trump dalam pilihan raya 5 November lalu, menandakan langkah terakhir sebelum upacara angkat sumpah jawatan pada 20 Januari nanti, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Naib Presiden Kamala Harris yang tewas kepada Trump pada November, mempengerusikan sesi itu dalam peranan perlembagaannya sebagai presiden Senat.

    “Kongres hari ini memperakui kemenangan besar kita dalam pilihan raya – satu detik bersejarah yang penting. MAGA!” kata Trump dalam catatan di platform media sosialnya, Truth Social.

    Dalam video yang dirakam dan dimuat naik ke media sosial sebelum sesi pengesahan, Harris berkata: “Peralihan kuasa secara aman adalah satu daripada prinsip paling asas dalam demokrasi Amerika.”

    Pengesahan itu dibandingkan dengan insiden 6 Januari 2021, apabila sekumpulan perusuh ganas menyerbu bangunan Capitol AS, menyerang pasukan penguat kuasa undang-undang dan menceroboh bangunan badan perundangan negara dalam usaha menghalang Presiden Joe Biden daripada mengambil alih jawatan.

    Sesi itu berlangsung dengan lancar tanpa bantahan dan turut dihadiri Naib Presiden terpilih J.D. Vance. Trump memperoleh 312 undi badan perwakilan pemilih berbanding 226 undi yang diraih Harris.

    Penggubal undang-undang bersidang di bawah kawalan keselamatan yang diperketatkan di tengah-tengah salji lebat yang meliputi Washington, DC. – Bernama/AA

    Donald Trump (kiri) bersama calon naib presiden Republikan Sen. JD Vance, R-Ohio, pada malam pilihan raya November 2024 di West Palm Beach, Florida. Kemenangan Trump disahkan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda