Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya akan menganjurkan Kongres Belia Kebangsaan 2019 dengan tema ‘Bersama Mencorakkan Masa Hadapan Kita’ pada 16 dan 17 Jun ini di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Kongres berkenaan diadakan buat kali kedua, yang pertama diadakan pada 2008, dan kali ini ia akan menumpukan kepada tiga perkara utama yang dilihat memainkan peranan signifikan dalam prospek kehidupan seharian para belia pada masa ini dan masa hadapan.
Penumpuan berkenaan adalah berdasarkan kepada penemuan awal hasil daripada kaji selidik mengenai kajian semula Dasar Belia Negara yang dilaksanakan oleh Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) dengan kerjasama KKBS dengan sampel seramai 3,700 orang belia pada Disember 2018 sehingga Januari 2019.
Ketiga-tiga perkara berkenaan akan dijadikan sebagai topik-topik perbincangan utama dalam forum dan bengkel iaitu ‘Belia Siaga Masa Depan’, ‘Penglibatan Belia’ dan ‘Keusahawanan’.
Perkara berkenaan diumumkan semasa sidang media di Dewan Citra, KKBS, pagi tadi, yang dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kongres Belia Kebangsaan; Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Logistik Kongres Belia Kebangsaan; Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Hajah Zainab binti Haji Morshidi selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Kerja Substantif Kongres Belia Kebangsaan; Pegawai Pentadbir, Awang Mohammad Ihsan Sabri bin Haji Manap selaku ketua Urus Setia Bersama Jawatankuasa Kerja Substantif Kongres Belia Kebangsaan; Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Awang Muhammad Aidil Firdaus bin Haji Jukin; Dr NurIskandar Hasnan dari Guild of Graduates dan Dayang Nurliyana Fatin binti Arifin daripada Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB).


Matlamat utama Kongres Belia Kebangsaan ialah untuk menjadi wadah bagi belia mengongsikan pendapat serta visi golongan belia secara berstruktur dalam sama-sama menyumbangkan buah fikiran bersama dengan penggubal dasar terhadap cadangan jalan penyelesaian terhadap cabaran-cabaran pembangunan belia masa kini dan masa mendatang ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Selain daripada itu, kongres akan menghasilkan resolusi-resolusi yang diselaraskan dengan strategi-strategi teras dalam Dasar Belia Negara, agar ia benar-benar memenuhi hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran Kongres Belia Kebangsaan 2019 juga akan diserikan dengan mendatangkan beberapa orang penceramah jemputan dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama di negara ini dan juga yang berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan sosial.
Mereka dijemput bagi mengongsikan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dirasakan berguna sebagai sumber inspirasi kepada belia kita.
Di samping itu, tiga topik utama akan dibincangkan iaitu Belia Siaga Masa Depan dengan tajuk ‘Cabaran negara dalam menghasilkan dan mendukung belia yang pintar-industri, seimbang dan siap siaga masa depan’, Penglibatan Belia dengan tajuk ‘Kepentingan memperkasa golongan belia sebagai agen perubahan dalam masyarakat melalui penglibatan aktif mereka’ dan Keusahawanan dengan tajuk ‘Keusahawanan: Peluang Bagi Belia’.
Kongres berkenaan dijangka akan disertai melebihi 500 orang belia yang mendaftar dan juga dijemput selaku peserta kongres yang akan dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut topik-topik perbincangan utama.
Penyertaan dibukakan kepada belia berumur antara 15 hingga 40 tahun yang terdiri daripada berbagai-bagai agensi termasuk sektor swasta dan awam, majlis pelajar dari setiap universiti dan kolej, Pembimbing Rakan Sebaya dan pengawas, individu keperluan khas, wakil dari empat daerah, wakil pertubuhan bukan kerajaan, belia berisiko dan orang kelainan upaya.
Kongres itu nanti diharapkan dapat dijadikan sebagai wadah bagi para belia supaya dapat berinteraksi dan menyuarakan pendapat serta pandangan yang membina terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dan diketengahkan untuk diselaraskan dengan dasar-dasar yang sedia ada bagi kemajuan dan pembangunan belia.
Perolehan atau resolusi daripada kongres berkenaan diharapkan akan dijadikan sebagai garis panduan dan dijadikan sebagai hala tuju dalam merancang program dan aktiviti bagi belia-belia di masa akan datang.
Dalam pada itu, KKBS juga menyeru dan mengalu-alukan para belia yang berminat supaya tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi menjadi peserta kongres dua hari berkenaan.
Pendaftaran dibukakan sehingga 2 Jun dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi www.kongresbelia.gov.bn.
Dalam pada itu, para belia lainnya juga dialu-alukan untuk hadir bersama-sama bagi meramaikan lagi majlis perasmian kongres pada 16 Jun dan semasa majlis penutup dan penyerahan resolusi pada 17 Jun.