Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongres kupas kaitan budaya, bahasa

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah diteruskan lagi dengan siri pembentang ke-16 yang diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom, hari ini.

    Seramai 106 orang pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Wahab, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Pembentangan kali ini menampilkan pemakalah dari Malaysia iaitu Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia, Datin Dr Hasnah binti Mohamad, yang dibentangkan oleh wakil beliau iaitu Awang Muhammad Nasri bin Rifin.

    Manakala itu, pengerusi kongres pula ialah Pegawai Bahasa, DBP Brunei, Awang Raieham bin Mohd Salleh.

    Antara yang dikupas dalam siri kali ini ialah mengenai aspek budaya dengan tajuk ‘Aspek Budaya dalam Nama Biasa Burung di Malaysia’, iaitu dalam pengenalpastian nama biasa yang digunakan dalam merujuk atau menggambarkan sesuatu organisma berdasarkan bahasa biasa yang digunakan dalam kehidupan seharian bagi sesebuah kelompok masyarakat.

    Contohnya dalam penamaan ‘Takur kukup,’ nama biasa yang digunakan bagi merujuk dan menggambarkan sejenis burung, iaitu spesies burung kukup yang berhabitat di hutan pamah dan menghasilkan bunyi “ku-kup-ku-kup”.

    Justeru masyarakat setempat mencipta nama biasa tersebut dengan mengambil kira budaya dan pengetahuan masyarakat dan terbukti bahawa budaya dan pengetahuan sesebuah masyarakat amat mempengaruhi pembinaan dan pemilihan nama biasa sesuatu organisma yang terdapat dalam persekitaran masyarakat tersebut.

    Sementara itu, sebanyak 161 nama biasa burung bahasa Melayu diperoleh dari pangkalan ‘Buku Panduan Bergambar bagi Burung-burung di Hutan Simpan Ayer Hitam, Selangor’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda