Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kongres kupas puisi patriotisme Brunei Darussalam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei diteruskan lagi hari ini dengan mengupas tajuk ‘Puisi Patriotisme Brunei Darussalam: Satu Pembicaraan Khusus Tentang Puisi A.S. Isma’.

    Antara yang dihuraikan ialah puisi-puisi karya A.S. Isma yang merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara pada 1996 dan salah seorang penyair penting Negara Brunei Darussalam yang telah menulis sejak awal tahun 1960an lagi.

    Menurut Dr Haji Morsidi bin Haji Muhammad, tema yang diungkapkan dalam puisi-puisi A.S. Isma adalah ‘Patriotisme’, iaitu semangat cintakan negara. Semangat patriotisme dapat menjadikan kehidupan masyarakat dalam sebuah negara semakin padu, aman dan sejahtera.

    Pembentangan kali ini menampilkan pemakalah dari Brunei iaitu Dr Haji Morsidi dengan dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa, DBP Brunei, Dayang Wathiqah Amirah binti Haji Wasli.

    Seramai 97 orang menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    Dr Haji Morsidi semasa menyampaikan pembentangan pada siri kongres yang diadakan secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan DBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...