Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Pendigitalan adalah lebih daripada satu trend, ia merupakan enjin yang memacu evolusi dunia dan memperkasakan kita untuk menyelesaikan isu-isu kompleks, meningkatkan keberkesanan dan membuka pintu kepada kemungkinan baharu.
Daripada cara kita berkomunikasi dan melakukan perniagaan kepada bagaimana kita mengurus bandar raya serta sistem penjagaan kesihatan, pendigitalan menjadi teras kepada masa hadapan yang lebih pintar dan saling berhubungan.
Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Sr Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian Kongres Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS) 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian kongres berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Sr Haji Mohammad Hanafi menyatakan kongres yang membawa tema, Pendigitalan ke arah sebuah Negara Pintar, meneroka bagaimana evolusi sebuah konsep bandar raya pintar boleh memacu ke arah sebuah negara pintar.



Menurut beliau, sebuah negara pintar bukan hanya mengenai teknologi tetapi ia juga mengenai teknologi yang boleh mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih baik dan inklusif, selain memanfaatkan data dan peralatan digital untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi semua warga, memupuk inovasi dan memastikan pembangunan mampan.
Dalam hubungan itu, visi sebuah negara pintar adalah di mana teknologi berkhidmat untuk manusia, membolehkan kita untuk hidup dengan lebih efisien, mampan dan harmoni.
Sementara itu, Pengerusi PAQS, Profesor Anthony Mills dalam kata alu-aluannya menekankan pendigitalan memerlukan komitmen yang besar daripada semua pihak.
Ia juga memerlukan anjakan paradigma tentang cara kita bekerja serta sokongan pembiayaan yang signifikan daripada pelabur dan kerajaan.
Kongres selama dua hari itu dihadiri oleh lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PUJA, juruukur bahan, jurutera, arkitek dan wakil-wakil dari pelbagai kementerian.
Kongres berkenaan bermatlamat untuk mengetengahkan usaha negara kepada memajukan bidang ukur, kejuruteraan dan arkitek ke pentas global. Acara mengetengahkan pembentangan daripada barisan pembentang antarabangsa dari Australia, Brunei, Kanada, China, Fiji, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Korea Selatan dan Afrika Selatan, selain pembentangan ucaptama daripada panel pembentang yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, DLS Consultancy Pte Ltd, Profesor Sr Dr Eugene Seah; Pengasas Utama, Pomeroy Studio, Profesor Dr Jason Pomeroy; Pengarah dan Penasihat Stategik, Turner and Townsend Malaysia, Sr Dr Ong See Lian; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; dan Jurutera Perunding dan Pengerusi Bahagian Jurutera PUJA Brunei, Ir Chin Lee Tuck.

