Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongres PAQS tutup tirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Dengan mengetengahkan tema, Pendigitalan ke arah sebuah Negara Pintar, Kongres Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS) 2024 telah membentangkan usaha untuk memanfaatkan teknologi digital bagi melaksanakan pembinaan lebih pintar, lebih efisien dan mampan alam sekitar.

    Setelah pembentangan selama dua hari, Kongres PAQS 2024 melabuh tirainya dengan Majlis Penutup Kongres PAQS 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Gadong, hari ini.

    Hadir semasa majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pengerusi PAQS, Profesor Anthony Mills dan Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Sr Haji Awang Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

    Majlis penutup tersebut menyaksikan penyerahan bendera PAQS kepada IQSI Indonesia yang menjadi hos bagi Kongres PAQS 2025 yang disempurnakan oleh Pengerusi Bahagian Juruukur, PUJA Brunei, Sr Hajah Hajijah binti Haji Salleh kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur PAQS 2025, Ir Widitomo Hari Puntoadi dengan disaksikan oleh Profesor Anthony Mills.

    Terdahulu sebelum penyerahan bendera PAQS, majlis menyaksikan penyampaian anugerah bagi pertandingan penulisan esei PAQS dengan IWATA Foundation dan penyampaian sijil akreditasi universiti.

    Kongres selama dua hari itu meneroka bagaimana evolusi sebuah konsep bandar raya pintar boleh memacu kita ke arah sebuah negara pintar.

    Kongres itu dihadiri oleh lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PUJA, juruukur bahan, jurutera, arkitek dan wakil-wakil daripada pelbagai kementerian.

    Kongres berkenaan bermatlamat untuk mengetengahkan usaha negara kepada memajukan bidang ukur, kejuruteraan dan arkitek ke pentas global.

    Kongres tersebut juga mengetengahkan pembentangan daripada barisan pembentang antarabangsa dari Australia, Brunei, Kanada, China, Fiji, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Korea Selatan dan Afrika Selatan.

    Sr Hajah Hajijah menyerahkan bendera PAQS kepada Ir Widitomo Hari Puntoadi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDAN
    Sr Hajah Norhayati semasa menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda