Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Buat julung kalinya, Universiti Teknologi Brunei (UTB) akan mengadakan kongres UTB-Science, Technology and Engineering Connect (UTB-STE Connect) 2023 pada 23 hingga 25 Oktober ini.
Kongres tersebut diadakan sempena Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro Canselor UTB menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor dalam Inovasi Teknologi, baru-baru ini.
UTB-STE Connect 2023 yang dianjurkan dan dihoskan oleh UTB dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas dan Hotel Antarabangsa Rizqun di Gadong dengan tema, Penyelidikan dan Aplikasi untuk Dunia yang Lebih Baik.
Kongres dwitahunan itu berhasrat untuk menghimpunkan tokoh-tokoh ahli akademik, sains, penyelidikan, kejuruteraan, industri dan pihak berkepentingan untuk berbincang dan bertukar-tukar idea bagi mencipta masa depan bersama yang lebih cerah dalam bidang masing-masing.
UTB-STE Connect 2023 menampilkan beberapa program berlainan sekitar lima persidangan dan tiga acara ciri khas yang mengetengahkan spektrum topik dan perbincangan meluas.

Antaranya ialah Persidangan Antarabangsa Brunei mengenai Kejuruteraan dan Teknologi ke-9 (BICET 2023); Persidangan Antarabangsa mengenai Kecerdasan Pengkomputeran Gunaan dalam Sistem Maklumat ke-6 (ACIIS 2023); Persidangan Antarabangsa berkaitan Perniagaan, Pengurusan dan Sistem Informasi ke-2 (ICBMIS); Persidangan Antarabangsa mengenai Agroteknologi, Makanan dan Minuman (ICABF 2023 yang pertama dan Persidangan Antarabangsa ATU-Net mengenai Inovasi dan Keusahawanan dalam Pendidikan Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Sains (InvENT 2023) yang pertama.
Turut diadakan ialah Lembaga Mesyuarat Asia Technological University Network (ATU-Net) ke-11; Forum Presiden Universiti UTB kali ke-2 dan Forum Kepimpinan Wanita.
Kongres itu akan dimulakan dengan Forum Kepimpinan Wanita pada sebelah pagi, diikuti dengan persidangan serentak.
Sesi petang akan diadakan Mesyuarat Lembaga ATU-Net ke-11 di Hotel Antarabangsa Rizqun, di mana pencapaian dan hala tuju masa depan ATU akan dibincangkan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota akan berangkat menghadiri UTB-STE Connect 2023 untuk melancarkan kongres pada majlis perasmian itu.
Hari tersebut juga akan menampilkan Forum Presiden Universiti UTB ke-2 dan persidangan serentak.
Hari penutup pada 25 Oktober mempamerkan Bengkel Kepimpinan Wanita yang mengetengahkan pandangan dan penyelesaian untuk menangani cabaran global, di samping persidangan serentak.
UTB-STE Connect 2023 adalah bukti komitmen UTB untuk memupuk inovasi, memajukan penyebaran pengetahuan dan mempromosikan kerjasama global.
Ia memberikan peluang kepada pemimpin pemikir dan pembuat perubahan untuk bersatu dan membentuk masa depan melalui bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
Untuk maklumat dan pertanyaan selanjutnya, bolehlah layari laman web rasmi UTB-STE Connect 2023 di http://conference.utb.edu.bn.

