Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi amalan baik sistem pemeriksaan buruh

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, baru-baru ini menjadi tuan rumah bagi Persidangan Pemeriksaan Buruh ASEAN ke-10 dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksaan Buruh ASEAN secara maya pada 14 dan 15 Disember yang dihadiri lebih 70 peserta merangkumi wakil dari 10 negara anggota ASEAN dan Sektretariat ASEAN serta perwakilan antarabangsa.

    Menurut kenyataan dari Jabatan Buruh, kelmarin, persidangan telah dirasmikan dengan ucapan daripada Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Shariful Bahri bin Haji Sawas yang dihadiri bersama pegawai kanan dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh.

    Persidangan itu merupakan platform pertukaran yang menghimpunkan pemeriksa buruh dan rakan kongsi luar di rantau ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan amalan baik mengenai organisasi dan pengendalian sistem pemeriksaan buruh kebangsaan, dengan tujuan untuk merumuskan cadangan untuk meningkatkan kapasiti dan kerjasama pemeriksaan buruh di seluruh negara anggota ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang maju dan kukuh.

    Persidangan itu dianjurkan di bawah bidang kuasa Kumpulan Kerja SLOM mengenai Amalan Buruh Progresif untuk Meningkatkan Daya Saing ASEAN (SLOM-WG) – sebuah badan teknikal subsidiari di bawah payung menteri-menteri buruh ASEAN (ALM).

    Objektif teras persidangan adalah untuk berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman mengenai dasar, perundangan, amalan baik dan inovasi serta cabaran dan penyelesaian yang berkaitan dengan mencapai pematuhan di tempat kerja melalui pemeriksaan buruh, baik dalam bidang keadaan kerja am dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

    Haji Shariful Bahri bersama warga Jabatan Buruh semasa persidangan tersebut.

    Tema untuk persidangan berkenaan dipilih sendiri oleh Negara Brunei Darussalam iaitu ‘Membina kecekapan dan kesediaan pemeriksa buruh di ASEAN’ dan para peserta telah meneliti beberapa topik yang berkaitan serta membincangkan dua sub-tema utama sepanjang dua hari berkenaan iaitu ‘kecekapan teras’ dan ‘mewujudkan kecekapan’.

    Para peserta dan pemeriksa buruh ASEAN di Persidangan itu telah dibekalkan dengan pembentangan oleh para pakar daripada pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Persatuan Pemeriksaan Buruh Antarabangsa serta pembentangan mengenai menggabungkan panduan keselamatan dan kesihatan ke dalam kecekapan inspektorat buruh yang disampaikan oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).

    Mesyuarat sulung Jawatankuasa Pemeriksaan Buruh ASEAN kemudiannya dipengerusikan oleh Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Rozan Justin Teo bin Haji Azlan, pada 15 Disember.

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksaan Buruh ASEAN ialah satu inisiatif yang dirangka daripada perundingan ASEAN untuk mengangkat Persidangan Pemeriksaan Buruh ASEAN menjadi badan subsidiari pegawai-pegawai kanan buruh (SLOM) yang akan memudahkan kerjasama di kalangan pemeriksa buruh dalam bidang kepen-tingan bersama.

    ASEAN SLOM telah bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemeriksa buruh negara anggota ASEAN dan menggalakkan kerjasama dengan menginstitusikan Jawatankuasa Pemeriksaan Buruh ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda