Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi amalan pelancongan mampan, berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Dasar pelancongan yang berkesan mesti berasaskan pandangan dan data kukuh untuk menyokong perancangan, penyelarasan dan pembuatan keputusan yang lebih strategik.

    Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam ucaptama di Bengkel Serantau UN Tourism mengenai Pengukuran Kemampanan Pelancongan di Asia dan Pasifik yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Bengkel yang dianjurkan oleh KSSUP dengan kerjasama UN Tourism, menghimpunkan lebih 60 orang peserta termasuk 20 peserta antarabangsa dari rantau Asia dan Pasifik termasuk pihak berkuasa pelancongan kebangsaan, pejabat statistik kebangsaan dan institusi utama lain, bersama pakar antarabangsa termasuk pihak berkepentingan tempatan daripada kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan tinggi, penyedia perkhidmatan pelancongan dan komuniti tempatan.

    Dalam ucaptama lagi, Hajah Tutiaty menekankan bahawa penggunaan petunjuk yang boleh diukur bukan sahaja akan memperkukuh rangka kerja kawal selia untuk melindungi degradasi alam sekitar tetapi juga menonjolkan nilai sebenar kemampanan sosial, pemerkasaan ekonomi, pemilikan komuniti dan pemeliharaan warisan budaya.

    Bengkel selama tiga hari itu menggabungkan dialog peringkat tinggi dengan sesi teknikal dan penyertaan yang membincangkan dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi kemampanan pelancongan.

    Hajah Tutiaty semasa menyampaikan ucaptama pada bengkel tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Gambar ramai semasa Bengkel Serantau UN Tourism mengenai Pengukuran Kemampanan Pelancongan di Asia dan Pasifik di Bandar Seri Begawan, kelmarin. – GAMBLER OLEH RAFI ROSLI

    Para peserta meneroka aplikasi Rangka Kerja Statistik untuk Mengukur Kemampanan Pelancongan (MST) dan alat berkaitan, termasuk Akaun Satelit Pelancongan (TSA) dan Sistem Perakaunan Alam Sekitar-Ekonomi (SEEA).

    Melalui kajian kes dan latihan, para peserta mengkaji cara-cara untuk memperkukuh penyelarasan institusi antara pihak berkuasa statistik dan pelancongan, menambah baik tadbir urus data pelancongan serta menggunakan sistem maklumat bersepadu untuk penggubalan dasar berasaskan bukti dan pengurusan destinasi.

    Bengkel itu juga menampilkan perbincangan mengenai kaedah mengukur pekerjaan pelancongan, penglibatan komuniti dan interaksi pelancongan dengan alam sekitar.

    Program diharap menjadi platform untuk pembelajaran rakan sebaya dan kerjasama serantau, sekali gus mengesahkan semula komitmen negara-negara di Asia dan Pasifik untuk memajukan pengukuran pelancongan sebagai asas utama bagi pembangunan pelancongan yang mampan dan berdaya tahan.

    Selain itu, para peserta juga akan melawat Daerah Tutong sebagai sebahagian daripada lawatan teknikal mereka yang mempamerkan amalan pelancongan berasaskan komuniti yang mampan sementara memberikan gambaran mengenai warisan budaya Brunei yang kaya dan pengalaman pelancongan budaya dalam persekitaran semula jadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda