Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi amalan terbaik ACPA

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri hari ini mengadakan Majlis Sesi Perkongsian Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) 2016, untuk mengongsi amalan terbaik yang diketengahkan dalam kertas-kertas projek dan kertas-kertas cadangan semasa anugerah berkenaan.

    Ketua Pegawai Perkhidmatan Pengurusan, Hajah Siti Mariana binti Abdullah berkata, ia merupakan inisiatif berterusan bagi ACPA yang bertujuan untuk mengongsikan beberapa kertas projek dan kertas cadangan yang telah dikenal pasti serta berpotensi untuk dapat dijadikan sebagai rujukan atau contoh yang boleh diaplikasikan sebagai inisiatif atau amalan terbaik di jabatan atau kementerian.

    Sesi perkongsian itu yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Bahirah, Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri, dihadiri oleh setiap kementerian dan jabatan kerajaan serta syarikat-syarikat dan badan-badan persatuan.

    Sesi perkongsian dimulakan dengan pembentangan kertas projek bertajuk Pemodenan Sistem Bermesyuarat oleh Kumpulan Syura BMT, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

    Projek itu dihasratkan untuk membantu memberikan pendedahan dalam meningkatkan mutu kerja dan memanfaatkan penggunaan teknologi dalam pengendalian mesyuarat.

    Hajah Siti Mariana menyampaikan kata alu-aluannya pada sesi perkongsian itu.
    Hajah Siti Mariana menyampaikan kata alu-aluannya pada sesi perkongsian itu.
    Antara yang menghadiri sesi perkongsian berkenaan.
    Antara yang menghadiri sesi perkongsian berkenaan.

    Projek tersebut juga mampu mempercepatkan dan memudahkan proses penyediaan dan pengendalian mesyuarat sejajar dengan perkhidmatan awam yang berinovatif.

    Sesi perkongsian seterusnya menyaksikan pembentangan kertas projek bertajuk ‘Pengurangan Penggunaan Tenaga Elektrik di Bangunan-bangunan Kerajaan’ yang disampaikan oleh Kumpulan 2G (Go Green) dari Jabatan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

    Projek itu telah mengambil langkah-langkah penjimatan tenaga bagi memastikan bangunan kerajaan di negara ini bercirikan hijau atau penjimatan tenaga dari sudut reka bentuk, pembinaan dan seterusnya operasi bangunan.

    Pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga yang berlebihan di bangunan-bangunan kerajaan di samping mendidik pengguna-pengguna untuk mengelakkan pembaziran tenaga dan menggunakan tenaga dengan efisien.

    Sesi perkongsian kemudian menyaksikan pembentangan kertas projek bertajuk ‘Khidmat Bantu Solat Pesakit Di Hospital-hospital Kerajaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Kumpulan UPPA KHEU dari Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Projek itu merupakan salah satu usaha pihak KHEU dalam menyumbang khidmat kemasyarakatan khususnya dalam memberi bantuan dan bimbingan kepada pesakit-pesakit dalam menunaikan tuntutan ibadat sembahyang sesuai dengan tuntutan syariat dengan keadaan dan kemampuan pesakit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda