Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengadakan Taklimat Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang berlangsung di Dewan Digadong, Jalan Dewan Majlis, Bangunan KKBS, kelmarin.
Sesi taklimat berkenaan dihadiri oleh seramai 64 orang pegawai dan kakitangan JAPEM di mana taklimat berkenaan bertujuan untuk membarigakan dan mendedahkan para peserta taklimat kepada Program CBDRM yang mengandungi maklumat, pengetahuan penting serta amalan terbaik bagi menangani isu-isu risiko bencana sekali gus memupuk budaya kesiapsiagaan bencana di negara ini.
Para peserta bukan saja berkesempatan mendengar taklimat mengenai Program CBDRM akan tetapi berpeluang mengikuti sesi kuiz interaktif dan aktiviti latihan praktikal salah satu kesiapsiagaan bencana iaitu penyediaan beg kecemasan serta menyaksikan beberapa tayangan video yang mempamerkan kejadian bencana yang berlaku dan impak bencana yang dihadapi.
Mereka juga menyaksikan video Program CBDRM yang telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini yang melibatkan penduduk kampung yang tinggal di Mukim Kilanas dan Mukim Bokok.
Salah seorang Ahli Koordinator Kesiagaan Bencana (DPC), Haji Mustapa bin Haji Masri berpendapat bahawa Taklimat CBDRM sangatlah penting dan berguna bagi masyarakat di negara ini terutama para penjawat awam yang seharusnya memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus bencana khususnya bagi pengurangan risiko bencana (DRR) sebagai persediaan pencegahan awal.
Pada masa yang sama, NDMC berharap hubungan kerjasama strategik di antara NDMC dengan agensi kerajaan lain dapat dipertingkatkan dalam bidang pengurusan bencana terutama bagi DRR.
Selain itu, NDMC berharap selepas taklimat berkenaan, lebih ramai lagi masyarakat di negara ini akan menyertai Program CBDRM anjuran NDMC dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana, yang dilaksanakan di mukim-mukim dan kampung-kampung ke arah membina masyarakat selamat dan berdaya tahan bencana.


