Monday, July 8, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Kongsi amalan terbaik, trend pengurusan tanah tercemar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Pencemaran tanah boleh memudaratkan kesihatan manusia, mencemarkan sumber air, merosakkan bangunan dan memerlukan satu perbelanjaan yang amat besar untuk dipulihkan.

    Di Negara Brunei Darussalam, dengan berkuat kuasanya Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar, Penggal 240, pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran tanah boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikawal ke tahap yang selamat melalui keperluan yang dikenakan ke atas industri-industrai dan pemaju-pemaju seperti perlaksanaan penilaian impak alam sekitar dan penyediaan pelan pengurusan dan pemantauan alam sekitar.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam ucaptama pada Forum Teknikal Mengenai Pengurusan Tanah yang Tercemar: Pencegahan, Amalan dan Trend, yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, ABCi, hari ini.

    Terdahulu, Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamat dalam kata alu-aluannya, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembentang kertas kerja, ahli-ahli panel dan peserta-peserta forum yang hadir.

    Beliau menambah bahawa para peserta akan berpeluang untuk mempelajari dan menambah pengetahuan mengenai pengurusan tanah yang tercemar, termasuk rangka kerja pengawalseliaan, penilaian risiko serta amalan-amalan terbaik dan kaedah-kaedah yang inovatif dalam melaksanakan pemulihan tanah yang tercemar.

    Dr Nor Imtihan semasa menyampaikan ucaptama pada forum tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang menyertai forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam pembentangan utama, Pengurus Besar Syarikat Dowtec (B) Sdn Bhd, Awang Bykri bin Bujang menekankan bahawa tanah dan air bawah tanah merupakan sumber-sumber yang berharga.

    Tanah yang terjejas akibat aktiviti manusia melalui penggunaan tanah dahulu dan sekarang seperti pertanian, perindustrian, perlombongan dan pelupusan sisa yang menghalang faedah penggunaannya, mengakibatkan kesan kepada nilai ekonomik tanah dan potensi kesan terhadap kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta kualiti air.

    Oleh itu, forum itu, menghimpunkan pihak-pihak berkuasa, pengamal dan industri untuk berkongsi amalan terbaik dan trend yang berkaitan dengan pengurusan tanah tercemar.

    Forum anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Dowtec (B) Sdn Bhd yang dihadiri oleh lebih 100 orang peserta itu merupakan sebuah program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 yang bertemakan Land Restoration, Desertification and Drought Resilience.

    Ia bertujuan untuk mengetengahkan elemen mengenai pencegahan dan mitigasi, penyelesaian mampan dan pengurusan risiko tanah tercemar daripada perspektif pihak berkuasa, para pengamal dan industri.

    Lima pembentangan disampaikan sepanjang forum sehari itu. Selesai sesi pembentangan berkenaan, satu perbincangan panel bertajuk Innovations in Managing Human Health and Ecological Risk Associated with Impacted Sites turut diadakan yang dikendalikan oleh Pegawai Alam Sekitar Kanan dari JASTRe selaku moderator, Awang Mohammad Akmal Fikry bin Yusra dengan turut serta sebagai ahli-ahli panel iaitu Ng Hon Seng, Michael Lampp dan Haji Sofi Hasni.

    Sijil-sijil penghargaan dan cenderahati kepada para penyampai taklimat, ahli panel dan moderator disampaikan oleh Hajah Martinah, diikuti dengan ucapan penutup oleh Awang Bykri bagi menutup tirai acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6 skala Richter landa Jepun

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI - Satu gempa bumi kuat berukuran enam pada skala Richter dikesan berlaku di Kepulauan Bonin, Jepun pada jam 4.01 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia...