BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Bagi memantapkan lagi aspek-aspek substantif yang penting untuk menguatkuasakan undang-undang persaingan, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE) bersama Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam telah mengundang dua pakar persaingan dari Competition Commission Singapore (CCS) bagi berkongsi pengalaman dalam program latihan yang dirasmikan pagi tadi.
Hadir mengalu-alukan kedatangan dua pegawai CCS, Penolong Ketua Eksekutif bagi Dasar, Perniagaan dan Ekonomi, Ng Ee Kia dan Pengarah Penguatkuasaan, Harikumar Pillay di Bilik Mesyuarat 1, East Wing, Bangunan Jabatan Perdana Menteri itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.
Dalam kenyataan yang diterima, hari ini, Dato Paduka Eddie turut berucap semasa sesi pembukaan program latihan berkenaan yang menekankan bahawa program Latihan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam bersama CCS itu bermatlamat untuk mempelajari aspek-aspek penting menerusi perkongsian pengalaman dua pakar dari Singapura di samping kerja-kerja persediaan ke arah penguatkuasaan Peraturan Persaingan 2015.

“Dengan mengiktiraf pencapaian luar biasa CCS dalam bidang tersebut selama 12 tahun, kami berasa beruntung untuk merebut peluang ini bagi mempelajari pengalaman lebih luas daripada rakan Singapura untuk membina rejim persaingan di Brunei.
“Singapura sentiasa menjadi contoh yang kami cari. Dengan bantuan yang sangat berharga itu, kami berharap akan memperolehi wawasan jelas ke atas aspek-aspek praktikal dalam mengimplementasikan dan menguatkuasakan undang-undang dalam persaingan tersebut,” ujar Dato Paduka Eddie dalam kenyataan tersebut.
Turut hadir semasa latihan yang berlangsung sehingga 1 Februari itu ialah para pegawai dan anggota suruhanjaya dari Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna dan JPKE serta pegawai perundangan dari Pejabat Peguam Negara.