Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi evolusi SPN21, transformasi pendidikan teknikal

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN,9 Feb – Menteri Pendidikan Thailand, Dr. Teerakiat Jareonsettasin selaku Presiden Majlis SEAMEO ke-48 berserta delegasinya, hari ini, telah menghadiri taklimat mengenai Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) yang diadakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Delegasi dari Thailand berkenaan turut disertai Penolong Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan Thailand, Duriya Amatavivat; Pengarah Sekretariat SEAMEO, Dr. Gatot Hari Priowirjanto dan beberapa pegawai dari Kementerian Pendidikan Thailand dan Sekretariat SEAMEO.

    Turut hadir dari Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Pada majlis itu, taklimat telah disampaikan oleh Pengiran Hajah Mashayu binti Pengiran Haji Yusof dari Unit SPN21, Kementerian Pendidikan, yang mengongsikan mengenai evolusi sistem pendidikan kebangsaan dan agenda pendidikan Brunei Darussalam terkini ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Sebagai tindak balas untuk mencapai matlamat wawasan berkenaan, beliau menjelaskan bahawa SPN21 merupakan platform untuk mencapai hasil negara dalam mencapai rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya menerusi penyediaan pendidikan kelas pertama, peluang pendidikan yang sama dan pendidikan dan latihan yang memerlukan keperluan ekonomi.

    Dr. Teerakiat Jareonsettasin bersama delegasinya menghadiri taklimat di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
    Dr. Teerakiat Jareonsettasin bersama delegasinya menghadiri taklimat di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    SPN21 telah membawa tiga perubahan utama untuk memastikan bahawa sistem pendidikan Brunei kekal relevan dan membawa pendidikan berkualiti tinggi untuk semua yang merangkumi transformasi dalam struktur pendidikan, kurikulum dan penilaian, serta teknikal dan pendidikan vokasional.

    Pada majlis itu, Dr. Teerakiat Jareonsettasin dan rombongan juga mendengar taklimat mengenai Transformasi Pendidikan Teknikal di Brunei Darussalam yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr. Chin Wei Keh.

    Dalam pembentangan beliau, Dr. Chin menekankan bahawa IBTE telah ditubuhkan sebagai tindak balas kepada keperluan untuk menyusun semula dan mewujudkan satu sistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih baik sejajar dengan keperluan sosial dan ekonomi di negara ini.

    Sebahagian daripada inisiatif berkenaan termasuk menjajarkan keperluan tenaga kerja negara dan untuk menawarkan kurikulum berasaskan kompetensi yang didorong permintaan untuk memastikan graduan bersedia untuk bekerja sebaik sahaja tamat pengajian di IBTE.

    Beliau juga menekankan kepentingan melaksanakan ‘pendekatan seluruh negara’ yang mana IBTE bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Unit Dasar dan Perancangan Tenaga Manusia (MPPU), pasukan Rangka Kerja Kecekapan Industri (ICF) dan pelbagai kluster industri untuk mengendalikan program-program ICF. Seterusnya, beliau mengongsikan perkembangan transformasi dan hala tuju IBTE.

    Dekan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin juga telah menyampaikan taklimat mengenai latihan guru.

    Beliau menjelaskan mengenai proses transformasi SHBIE sejak lapan tahun yang lalu, sejak menjadi Graduate School.

    Institut pendidikan berkenaan yang sebelum ini menawarkan program ijazah telah melalui transformasi dan penambahbaikan untuk lebih memfokuskan ke atas program-program lepas ijazah dengan penekanan ke atas penyelidikan dan amalan-amalan berasaskan bukti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda