Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kongsi gagasan pakar bahasa, sastera dan budaya

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu Sempena Bulan Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam, melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diteruskan lagi secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom pagi tadi.

    Seramai 180 orang menyaksikan siri kongres kali ini yang menampilkan pemakalah dari Malaysia, iaitu Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mawar Safei selaku pembentang.

    Manakala itu, pengerusi kongres ialah Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak.

    Pembentangan untuk kongres kali ini bertajuk ‘Membaca Cerpen H. Mar dan Satu Penziarahan Semula’ di mana perbincangan menumpukan kepada karya penulisan cerpen H.Mar dalam buku ‘Hidup yang Mati’ dan ‘Exotis’ dengan membuat penziarahan semula lima rujukan bacaan lain yang menyebut penulisan H.Mar yang luar biasa, dan terlihat ada unsur pembaharuan yang menyimpang daripada tradisi serta mempunyai gaya aliran ekspresionisme dan modenisme.

    Hadir menyaksikan KABSBM berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM yang dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun depan dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Rabu.

    Kongres berkenaan juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

    Antara yang menyertai kongres secara maya anjuran DBP. – Gambar serahan DBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...