Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi gembira, kejayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Perasaan syukur dan gembira dengan kejayaan yang diperolehi telah dikongsikan oleh beberapa pelajar penerima anugerah Dana Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) 2024 dan Anugerah Bintang BIBD ALAF bagi tahun 2023 dalam majlis penyampaian anugerah, kelmarin.

    Semasa temu bual media dengan salah seorang penerima biasiswa BIBD ALAF, Awang Mohammad Firdaus bin Mohmmed Salleh yang merupakan salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah menjelaskan, berkat usaha dan pengorbanan yang dibuat telah membuahkan hasil yang mengembirakan.

    Beliau diberikan peluang oleh BIBD ALAF untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur (UIAKL), Malaysia, dijangka akan memulakan pengajian pada September dalam bidang Fiqh dan Usul Al-Fiqh.

    “Walaupun hari ini meraikan kejayaan kami, tapi masih lagi ada perasaan terkejut dengan keputusan yang diperolehi dan rezeki yang Allah kurniakan,” jelasnya.

    Beliau turut mengongsikan keadah dan teknik pembelajaran yang diterapkan di mana beliau menganggap peperiksaan umpama peperangan dan sudah pasti sebelum berperang pelbagai persiapan dan strategi disediakan.

    ATAS & BAWAH: Antara pelajar BIBD ALAF yang menerima anugerah pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Bagi Awang Mohammad Firadus sendiri, beliau akan menyediakan jadual yang teratur untuk membuat ulang kaji dan selalu menekankan prinisp untuk membuat persiapan sebaik mungkin sehingga berpuas hati dan tidak suka membuat persediaan di saat-saat akhir.

    Dengan kejayaan dan ilmu yang diperolehi itu, beliau berharap akan dapat dikongsikan kepada orang ramai dan secara tidak langsung memberi semangat kepada pelajar-pelajar di luar sana.

    Manakala salah seorang penerima biasiswa BIBD ALAF yang akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah selama empat tahun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal juga di UIAKL, Awang Muhammad Masnur Alimin Hisyam bin Masri berasa bersyukur dan tidak menyangka akan menjadi salah seorang penerima biasiswa tersebut.

    Di sebalik kejayaan ini sudah pasti adalah doa dan keberkatan daripada ibu bapa yang ingin sentiasa melihat anaknya berjaya dalam pembelajaran.

    Katanya lagi, “Dengan sering menghulurkan bantuan dari segi pembelajaran jika kawan-kawan memerlukan pertolongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawan-kawan tetapi juga kepada diri sendiri”.

    Beliau seterusnya berharap dengan peluang ini, ia akan dapat memberi semangat dan contoh yang baik kepada pelajar BIBD ALAF yang lain untuk sentiasa berusaha dan bekerja keras dalam pembelajaran.

    “Saya berbesar hati kepada BIBD ALAF kerana telah menyediakan dan membantu dari segi kewangan sepanjang tempoh pembelajaran dan turut bersyukur kerana telah memberi kepercayaan dengan pemberian biasiswa ini.”

    Manakala pelajar Tahun 4, Dayang Nor Ruqayah Aleysa binti Haji Suhardi, pelajar dari Sekolah Rendah (SR) Pehin Dato Jamil dan Dayang Farisha Marsha Nabilah binti Mohammad Faizan dari SR Pengiran Anak Puteri Besar, berkata mereka menggunakan teknik pembelajaran dengan meluangkan masa 30 minit setiap hari dan kemudian akan diperiksa oleh kedua-dua ibu bapa.

    Sementara itu, Dayang Nor Ruqayah Aleysa menjelaskan, “Walaupun menjadi salah seorang penerima anugerah bintang, tapi ia tidak bermaksud usaha tersebut setakat itu sahaja, malah ia akan menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha memantapkan lagi keputusan yang lebih baik.”

    Bagi Dayang Nur Aleeya Danishareena binti Abdullah Dermande pula mengongsikan teknik pembelajaran menggunakan kaedah SQ3R iaitu membuat tinjauan, soal, baca, ingat dan ulangkaji.

    “Dengan sentiasa menerapkan kaedah ini dalam diri sendiri selain mendisiplinkan diri, ia telah memberi kesan kepada kualiti pembelajaran saya,” jelasnya.

    Di atas kejayaan yang diperolehi ini adalah berkat sokongan daripada keluarga dan kerjasama yang sering dibuat bersama kawan baik.

    Rata-rata para pelajar berkenaan mengucapkan penghargaan kepada BIBD ALAF atas sokongan dan bantuan pembelajaran yang diberikan kepada mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda