BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Dalam usaha membantu para usahawan mengembangkan perniagaan mereka dengan pertolongan pakar-pakar selain mengongsikan perspektif usahawan bagi mengenal pasti ciri-ciri untuk menarik pelabur, Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), telah menganjurkan acara Insight Into Islamic Finance and Entrepreneurship, hari ini, di Dewan Kuliah, CIBFM, Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Dengan membawa tema Improve your pitch: Incorporating Islamic Values in your business presentations, acara Insight kali ini telah menjemput beberapa orang ahli panel terdiri yang daripada usahawan-usahawan tempatan dan pakar-pakar perniagaan iaitu Pengasas Rumah Gelato, Awang Mordeny bin Haji Mohidi; Pengurus Kanan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Rotuku Group of Companies, Awang Azri bin Jumat dan Kaunselor Perniagaan Kanan dari Livewire, Awang Mohd Fadhullah Tudun bin Haji Hassan @ Bobby.
Semasa perbincangan tersebut, yang diketuai oleh pensyarah bagi Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UBD, Dayangku Hajah Saerah binti Pengiran Haji Petra, ahli-ahli panel membincangkan mengenai kepentingan nilai-nilai Islam dalam menjalankan perniagaan dan juga membimbing perniagaan-perniagaan yang baru berkembang mengenai cara-cara untuk menggunakan nilai-nilai Islam di dalam elevator pitch mereka serta yang paling penting ialah memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara menyatukan nilai-nilai keislaman melalui pitch perniagaan masing-masing.
