Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi inisiatif negara capai alam sekitar mampan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid telah menghadiri Mesyuarat ke-17 Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN dan Mesyuarat ke-18 Conference of the Parties (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang diadakan kelmarin dan hari ini di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di sini, hari ini, mesyuarat-mesyuarat tersebut mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan usaha kerjasama serantau dalam menangani isu-isu alam sekitar.

    Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh, pegawai-pegawai kanan dari JASTRe, Kementerian Pembangunan dan dari Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut mengongsikan mengenai inisiatif-inisia-tif Negara Brunei Darussalam untuk mencapai alam sekitar berdaya tahan yang menyokong Wawasan Brunei 2035 dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang merangkumi Voluntary National Review bagi Brunei Darussalam (VNR) 2023 yang telah dilaporkan semasa Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Mampan (HLPF) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada Julai lalu.

    Inisiatif tersebut termasuk pelaksanaan kenaikan cukai duti eksais bagi pengimportan produk-produk plastik, kempen pembersihan serpihan laut iaitu Wira Pantai yang bertujuan untuk memupuk masyarakat yang bertanggungjawab ke arah melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pelupusan sisa yang betul.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bergambar ramai pada Majlis Pembukaan AMME ke-17 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan. – Gambar serahan JASTRe
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda pada majlis penyerahan rasmi Perjanjian Penubuhan ACCC. – Gambar serahan JASTRe

    Selain itu, inisiatif-inisiatif perubahan iklim lainnya termasuk arahan pelaporan mandatori yang baru dilancarkan sebagai sebahagian daripada komitmen Brunei untuk memenuhi kewajipan di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris, penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam serta pemuliharaan kepelbagaian biologi yang menyokong program mitigasi perubahan iklim melalui penanaman pokok di mana setakat Jun 2023, sebanyak 42,928 anak pokok telah ditanam di seluruh negara.

    Sementara itu, mesyuarat tersebut turut menyambut baik pemuktamadan Perjanjian Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) yang akan ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam, yang bertujuan untuk memudahkan kerjasama dan penyelarasan serantau mengenai inisiatif perubahan iklim dalam kalangan negara-negara ASEAN dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, organisasi serantau dan antarabangsa dan menyediakan cadangan dasar untuk menangani perubahan iklim kepada negara-negara anggota ASEAN.

    Ia merupakan pencapaian yang penting dalam penubuhan ACCC dan mencerminkan usaha kolektif negara anggota ASEAN menangani perubahan iklim. Dengan penandatanganan perjanjian tersebut, negara-negara anggota ASEAN akan memulakan prosedur domestik masing-masing untuk menghadapkan instrumen ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, bagi memulakan operasi ACCC.

    Majlis diakhiri dengan penyerahan rasmi perjanjian penubuhan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda sebagai negara tuan rumah ACCC, kepada Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Sosio-budaya ASEAN, Ekkaphab Phanthavong.

    Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada Pusat Kepelbagaian Biologi ASEAN (ACB) atas sokongan berterusan kepada negara-negara anggota ASEAN dalam memudahkan kerjasama dan penyelarasan mengenai kepelbagaian biologi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda