Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi kebudayaan, kesenian bersama

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    TUTONG, 11 Jan – Seramai 20 orang pelajar dan tenaga pengajar dari Kolej Dramatic Arts Chiang Mai, Institut Bandipatanasilpa, Negara Thailand hari ini, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB) Tutong, pada pagi tadi.

    Tujuan utama lawatan adalah untuk mempromosikan pertukaran akademik dan menjalin kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan.

    Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan kebudayaan dan kesenian antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand.

    Ketibaan rombongan pelawat yang diketuai oleh Pengarah kolej berkenaan, Dr. Kasama Prasongchareon telah dialu-alukan oleh Pengetua SMSB, Goh Siah Ching dan pegawai serta kakitangan pentadbiran SMSB.

    Rombongan dari Kolej Dramatic Arts Chiang Mai, Institut Bandipatanasilpa, Thailand bergambar ramai bersama warga SMSB Tutong setiba mereka di sekolah berkenaan kelmarin.
    Penandatanganan MoU antara Goh Siah Ching dan Dr. Kasama Prasongchareon (tiga, kanan) yang berlangsung di bilik pengetua SMSB kelmarin.

    Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk memeriahkan lawatan berkenaan adalah persembahan dan bengkel tarian oleh ahli-ahli Kelab Tarian SMSB dan juga daripada pelajar Kolej Dramatic Arts Chiang Mai, Institut Bandipatanasilpa; aktiviti demonstrasi memasak ambuyat yang dilakukan oleh wakil warga SMSB; lawatan ke Bilik Sumber Melayu Islam Beraja (MIB), Bilik Pra-Vokasional dan juga Bilik Pendidikan Kursus Hospitaliti.

    Lawatan turut menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah institusi pendidikan yang ditandatangani oleh Goh Siah Ching dan Dr. Kasama Prasongchareon di bilik pengetua SMSB.

    MoU berkenaan adalah bagi pertukaran akademik dan aktiviti-aktiviti kebudayaan, selain itu, kedua-dua buah sekolah berkenaan juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti kerjasama seperti seminar, simposium dan sebagainya pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda