Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Rombongan seramai 10 orang belia Korea yang menyertai Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik
Korea 2019 di negara ini, meneruskan pengisian program dengan mengadakan kunjungan ke Kelab Kebudayaan Korea Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Ketibaan rombongan di Pusat Hal Ehwal Pelajar UBD dialu-alukan oleh Yang Dipertua PMUBD dan ahli Kelab Kebudayaan Korea UBD.
Dalam program ke UBD itu, rombongan berpeluang berinteraksi dan berkongsi mengenai kebudayaan Korea kepada ahli kelab berkenaan selain mengetahui pengisian aktiviti yang dilaksanakan oleh Kelab Kebudayaan Korea UBD.
Antara lain tujuan sesi perkongsian di UBD berkenaan adalah untuk menjalin
persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia kedua-dua buah negara dalam suasana harmoni, selain dapat bertukar-tukar pandangan dan pengalaman masing-masing mengenai kebudayaan.
Rombongan belia Republik Korea diketuai oleh pegawai dari Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea Junhong Cho dan akan berada di negara ini sehingga Rabu ini.
