Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi kisah inspirasi peranan guru bentuk generasi masa depan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Pameran A Teacher’s Journey yang mengetengahkan dedikasi tiga dekad terhadap pendidikan oleh seorang tenaga pengajar, Dr Faridah binti Abdul Hamid dianjurkan oleh Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) yang berlangsung di perpustakaan maktab berkenaan, baru-baru ini.

    Pameran itu dihadiri oleh Pengetua MDPMAMB, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad bersama pensyarah, kakitangan dan pelajar maktab berkenaan.

    Dalam ucapannya, Ketua Bahagian Pembangunan Profesional Guru, Dr Faridah mengimbas peranan penting yang dimainkan guru dalam membentuk generasi masa depan.

    Beliau menekankan ketekunan dan dedikasi serta menggalakkan rakan sejawat untuk terus memupuk minda muda dengan penuh semangat. Beliau turut menyeru mereka untuk tidak pernah berputus-asa serta berharap pameran berkenaan akan menjadi sumber inspirasi bagi para pendidik untuk terus maju ke hadapan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

    Pameran itu dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Profesional Guru dan Perpustakaan (TPD) di mana pameran menawarkan peluang yang unik untuk meneroka pengamalan peribadi dan profesional Dr Faridah dalam bidang pengajaran dan penulisan.

    Ia juga menyediakan gambaran yang mantap mengenai perjalanannya sebagai seorang pendidik melalui foto-foto bersama pelajar dan rakan sejawat, yang mengumpul tenaga positif dan keriangan dalam kerjaya pengajaran.

    Pameran berkenaan juga bukan sahaja meraikan kerja keras dan dedikasi Dr Faridah tetapi juga bermatlamat untuk merangsang pelajar-pelajar maktab untuk memandang kerjaya mendidik sebagai satu kerjaya pilihan yang berbaloi dan memuaskan.

    Kisah dan gambar yang disusun dengan teliti berkenaan mengetengahkan progresif, daya tahan dan kekuatannya yang menentukan perjalanannya sebagai seorang guru, menekankan keriangan menjadi sebahagian daripada persekitaran pendidikan berpandangan ke hadapan, dinamik dan positif.

    Acara itu juga mengetengahkan Pertandingan Bicara Buku di mana para pemenang, peserta dan hakim diraikan dalam majlis perasmian pameran berkenaan. Pameran itu membuktikan kepentingan kerjaya mendidik, dengan harapan untuk membakar semangat dalam kalangan pendidik untuk meneruskan perkhidmatan tak ternilai mereka kepada negara.

    Dr Faridah dan pengetua MDPMAMB bergambar ramai semasa pameran yang diadakan di perpustakaan maktab berkenaan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MDPMAMB
    GAMBAR SERAHAN MDPMAMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda