Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi kisah ‘perjalanan’ semasa koma

    KUALA LUMPUR – Akibat virus COVID-19, separuh daripada paru-parunya kini sudah tidak boleh berfungsi, malah keadaan itu dijangka kekal buat selamanya dan hampir mustahil untuk pulih seperti sedia kala.

    Itu kesan yang perlu dihadapi Eksekutif Pentadbiran Amira Ruslan, 29, bekas pesakit COVID-19 tahap lima, yang sebelum ini terpaksa bertarung nyawa selama 33 hari termasuk sembilan hari ‘ditidurkan’ di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif pada 7 Januari lepas.

    “Paru-paru saya sekarang berfungsi (sekitar) 48 peratus sahaja, kira macam separuh daripada paru-paru tu macam dah ‘mati’.

    “Menurut doktor ia sudah tidak boleh kembali normal dan saya juga tidak boleh bergerak cergas macam dulu.

    “Ia adalah sindrom ‘Long Covid’ yang memberi kesan pada rutin harian saya, bercakap pun rasa penat, buat aktiviti mudah macam jemur kain pun penat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Amira Ruslan (berkerusi roda) bersama ibu saudaranya Mazlah Ibrahim selepas keluar dari Hospital Sungai Buloh. – Bernama

    Amira yang tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius, tidak menyangka virus pembunuh yang dikatakan hanya cerita dongeng oleh segelintir pihak, meninggalkan impak begitu besar menyebabkannya terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi pernafasan.

    Bukan itu sahaja, katanya kesan rawatan yang diterima di ICU juga, masih meninggalkan rasa sakit pada saluran kerongkong dan dada, akibat pernah dimasukkan tiub ke paru-paru selain daya ingatan yang lemah kesan daripada ubat.

    “Saya masih terbayang lagi kesakitan apabila tiub dimasukkan menerusi saluran kerongkong ke paru-paru, ada satu kejadian apabila petugas kesihatan perlu mengalihkan saya ke katil lain dan tiub tersebut berganjak dan bergerak dalam badan, sakitnya seperti ‘minta nyawa’,” katanya.

    Mengimbau kembali saat sebelum dikomakan, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau diberi peluang untuk bercakap dengan ibunya menerusi panggilan video.

    “Doktor beritahu, jika jadi apa-apa pada saya, inilah yang terakhir saya bercakap dengan ibu. Saya sempat mohon maaf dan ibu saya terus menjerit, adik (nama panggilan Amira) kena kuat, mak tunggu adik di luar ni.

    “Ketika itu ada dua perkara yang bermain difikiran, pertama ibu, yang kedua ketika saya bangun nanti sama ada masih berada di dunia ini atau dunia lain,” katanya yang sedar daripada koma sepenuhnya pada 28 Januari lepas.

    Pengalaman berada dalam keadaan koma selama sembilan hari memberi pengajaran serta keinsafan buat dirinya dan peluang untuk terus hidup disifatkan seperti ‘keajaiban’ selepas melalui fasa kritikal sewaktu masih koma.

    “Memang tidur, tapi mimpi di alam lain, berjalan di satu tempat asing yang mana badan kita sahaja yang bercahaya, kiri kanan depan belakang semua gelap, berada di jalan asing dan saya terus-menerus cari jalan keluar dan kadang-kadang berlari,” katanya.

    Katanya mengikut cerita keluarganya, semasa berada dalam keadaan koma, paras oksigen di dalam badannya turun sehingga tahap 60 peratus menyebabkan doktor yang merawatnya menghubungi ibunya bagi memaklumkan keadaan itu dan meminta supaya berdoa agar berlaku keajaiban dengan izin Allah SWT.

    Berkat doa seorang ibu dan keluarganya, anak kelahiran Johor itu bersyukur kerana masih diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan bersama insan tersayang walaupun perlu menyesuaikan dengan keadaan kesihatan terkini.

    Katanya jika dahulu beliau aktif berniaga, bergerak ke sana sini, dan mampu mengangkat barang walaupun berat, namun kini segala pergerakannya terbatas kerana masih terasa sakit terutama di bahagian dada selain cepat penat.

    Berikutan itu, Amira menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak lalai untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti wabak yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia ketika ini.

    “COVID-19 benar-benar wujud dan daripada apa yang saya lihat kesan kepada setiap individu tidak sama dan tidak boleh dijangka,” katanya yang turut menasihatkan masyarakat segera mengambil vaksin untuk membolehkan negara bebas daripada pandemik itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda